Pemimpin etnik Sabah diseru kekalkan keharmonian ketika rundingan hak 40 peratus hasil negeri
KOTA KINABALU – Pemimpin kumpulan etnik di Sabah diseru supaya membantu mengekalkan keharmonian ketika rundingan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil negeri itu seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan.
Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud berkata, walaupun kemajuan dicapai dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kewangan, cabaran sepanjang rundingan itu boleh menimbulkan kebimbangan awam, lapor Borneo Post.
“Saya berharap Majlis Gabungan Persatuan Bumiputera Asli Sabah (MAGENS) dan presiden pelbagai kumpulan etnik dapat bekerjasama untuk bantu ahli memahami bahawa ketika kita perjuangkan hak, kita juga ada tanggungjawab untuk pastikan hubungan persekutuan dan negeri kekal kukuh serta harmoni.
“Kita tidak mahu ketegangan meningkat akibat isu-isu ini sehingga menimbulkan pergeseran antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, atau dalam kalangan NGO di negeri ini,” katanya ketika hair pada mesyuarat MAGEBS, di sini hari ini.
Beliau turut menggesa MAGEBS dan pemimpin kumpulan etnik memainkan peranan masing-masing dalam mengekalkan keharmonian dan menyokong pembangunan berterusan negara, sambil menambah beliau sendiri memantau rundingan itu bagi pastikan garis masa yang diarahkan mahkamah dipatuhi.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Sabah berhak menerima 40 peratus daripada hasil persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Kerajaan Persekutuan menjalankan semakan bersama Sabah bagi menentukan hak negeri itu bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Mahkamah turut memerintahkan supaya semakan tersebut dimulakan dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam tempoh 180 hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













