BERITA SEMASA

Pemilik pusat tahfiz buat laporan polis, nafi dakwaan seleweng dana derma RM10 juta

KUALA LUMPUR – Pemilik Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, membuat laporan polis terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa menyebarkan fitnah kononnya beliau dan isterinya menyeleweng dana derma orang awam.

Pemiliknya, Mohd Zahid Mahmood berkata, tuduhan yang disebarkan melalui media sosial itu bukan sahaja mencemarkan reputasi pusat tahfiz berkenaan, malah disifatkan sebagai menghina keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 10 Februari lalu.

Menurutnya, dakwaan tersebut timbul selepas mahkamah menolak tuntutan 17 anggota keluarga mangsa tragedi kebakaran 2017 yang menuntut wang derma diterima pusat tahfiz berkenaan daripada orang ramai.

Mohd Zahid mendakwa, seorang pengerusi NGO menuduh beliau dan isterinya menyeleweng kira-kira RM10 juta dana derma serta mempersoalkan proses audit yang didakwa belum selesai.

“Dia mendakwa saya dan isteri ‘sakau’ duit RM10 juta dan audit tidak selesai, sedangkan akaun bank pusat tahfiz telah dibekukan oleh mahkamah sejak sembilan tahun lalu. Jadi bagaimana kami boleh menggunakan wang itu?

“Perkara itu tidak diceritakan kepada umum, sebaliknya tuduhan provokatif disebarkan sehingga menimbulkan persepsi negatif,” katanya memetik laporan Metro Online.

Mohd Zahid berkata, beliau sudah membuat dua laporan polis masing-masing di Balai Polis Setiawangsa dan Balai Polis Jalan Tun Razak pada 1 dan 7 Mac lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan tersebut.

Beliau turut menyifatkan tindakan NGO terbabit sebagai satu bentuk pencemaran terhadap integriti sistem kehakiman negara.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan ganti rugi trauma serta tuntutan terhadap wang derma yang dikemukakan oleh 17 ahli keluarga mangsa dan 14 bekas pelajar pusat tahfiz itu.

Bagaimanapun, pihak plaintif dilaporkan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button