Pembantu kedai didenda mengintai wanita di tandas LRT
KUALA LUMPUR – Padah mengintai seorang wanita di tandas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul, seorang pemuda didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Samad Rosman berusia 23 tahun, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 44 tahun ketika berada di tandas wanita LRT Sentul, di sini, kira-kira pukul 8 pagi pada 16 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri, yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira aspek kehormatan serta keselamatan awam.
Peguam, CH Low dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), yang mewakili Abdul Samad, merayu agar hukuman denda minimum dikenakan memandangkan tertuduh menanggung ibu bapa yang menghidap pelbagai penyakit.
“OKT kesal dan insaf atas perbuatan itu dan pengakuan salah awalnya ini menjimatkan masa mahkamah.
“Dia juga memohon maaf kepada mahkamah dan keluarga mangsa serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya dalam prosiding itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






