PDFM perkasa dakwah faraid menerusi Liqa’ Mahabbah Perdana 2025
MUAR – Pertubuhan Du’ah Faraidh Malaysia (PDFM) menganjurkan Program Liqa’ Mahabbah Perdana sebagai platform memperkukuh dakwah serta kefahaman ilmu faraid dalam kalangan ahlinya di seluruh negara.
Program yang berlangsung di Rumah Dusun Ramlee Sarip, Sungai Mati, di sini, dari 12 hingga 14 Disember 2025 itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negeri termasuk Johor, Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Presiden PDFM, Ustaz Mohd Khusairi Saleh berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan menyuntik semangat baharu dalam usaha memperkasakan lagi dakwah faraid agar terus relevan dan berkesan dalam masyarakat.
Menurut beliau, program itu turut menjadi medan perbincangan bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk memastikan setiap perancangan PDFM bagi tahun 2026 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Antara harapan utama ialah agar semua ahli PDFM dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap setiap perancangan dan aktiviti yang dirangka, supaya visi untuk mengungguli dakwah serta kefahaman ilmu faraidh di Malaysia dapat direalisasikan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti bermanfaat diisi sepanjang program berkenaan termasuk solat berjemaah, tazkirah, perkongsian ilmu berkaitan rakaman dan penyuntingan video, penghasilan poster serta infografik faraid.
“Program ini turut menampilkan ceramah berkaitan bidang kuasa syariah dan sivil yang disampaikan oleh peguam, Nizam Amin, selain sesi penyediaan fail faraid peribadi, perbincangan aktiviti tahun 2026 serta tausiah penutup,” jelasnya.

Mohd Khusairi berkata, penganjuran Liqa’ Mahabbah Perdana itu diharap dapat memperkukuh ukhuwah dalam kalangan ahli sekali gus menyatukan gerak kerja dakwah faraid secara lebih tersusun dan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
