
Pas turut sokong Proklamasi Orang Melayu
CYBERJAYA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut hadir menyatakan sokongan dengan menandatangani Proklamasi Orang Melayu di hadapan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sokongan itu dikongsikan oleh pembantu Mahathir, Abu Bakar Yahya dalam satu hantaran di Facebook Proklamasi Orang Melayu.

“Beberapa pimpinan tertinggi Pas diketuai Abdul Hadi telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan Mahathir Mohamad,” katanya.
Hantaran sama turut berkongsikan beberapa keping gambar memaparkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Che Sulaiman turut bersama Hadi dalam sesi menandatangani itu.
Turut dikongsikan, rakaman pertemuan dan video respons ringkas Hadi berkaitan Proklamasi Orang Melayu.
“Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia, tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.
“Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” kata Hadi dalam video tersebut.
Ketika diminta mengulas dakwaan Proklamasi Orang Melayu bersifat perkauman, beliau berkata perkara itu tidak betul.
“Saya rasa tak betul (perkauman), masa kita dah memerintah selepas merdeka dah berpuluh-puluh tahun, kita tak pinggirkan kaum lain. Kita terima hakikat yang ada itu, tetapi mesti menerima realiti Malaysia ini kaum asal dan majoriti orang Melayu, saya sokong,” katanya.
Proklamasi Orang Melayu digerakkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu secara dalam talian, selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.
Pada 27 Mac lalu, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam satu kenyataan berkata, kempen itu akan dilakukan secara berterusan supaya dapat sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara.
Mahathir pada 19 Mac lalu menuduh kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap ‘diktator’ selepas dua kali program itu dibatalkan.
Walaupun mengakui beliau tiada bukti siapa yang mengarahkan acara itu dibatalkan tetapi Mahathir yakin Anwar adalah dalangnya.
Penganjur sebelum ini juga dilaporkan sebagai berkata, Proklamasi Orang Melayu bukan bersifat politik tetapi hanya mahu membincangkan isu berkaitan komuniti Melayu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








