Panel lampu LED terbakar di MR D.I.Y MyTown cetus panik
KUALA LUMPUR – Satu kebakaran kecil melibatkan panel lampu LED di sebuah premis MR D.I.Y di MyTown Shopping Centre, di sini petang semalam mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung.
Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.53 petang sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu ke lokasi.
Menurut kenyataan JBPM, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama lima anggota dikerahkan bagi menjalankan operasi pemantauan dan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK II Mohd Azrul Nizam Abdul Wahab berkata, kebakaran berlaku pada panel lampu LED di dalam premis MR D.I.Y yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan.
“Api berjaya dikawal dan dipadamkan oleh sistem sprinkler bangunan sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sistem pencegahan kebakaran termasuk sprinkler berfungsi dengan baik semasa kejadian.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar kejadian tular di media sosial yang memaparkan suasana cemas di pusat beli-belah tersebut, dengan orang ramai dilihat keluar dari kawasan premis sebagai langkah keselamatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








