Nicol David ucap tahniah kepada Azizulhasni terima Darjah Bakti
KUALA LUMPUR – Legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas penerimaan Darjah Bakti sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan inspirasi beliau kepada Malaysia.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Nicol berkata, beliau berbesar hati dapat berjalan bersama Azizulhasni serta menemani atlet itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika menerima anugerah berkenaan.

Menurut Nicol, beliau merupakan penerima pertama Darjah Bakti dalam sejarah Malaysia iaitu pada tahun 2007 sebelum diikuti Datuk Lee Chong Wei sebagai penerima kedua pada 2009.
“Kini kita bertiga memikul tanggungjawab untuk terus memimpin dan memberi inspirasi kepada negara ke arah pencapaian lebih gemilang.
“Tahniah atas segala yang telah anda lakukan dan atas apa yang saya yakin akan terus anda lakukan selepas ini. Saya amat mengagumi anda,” katanya.
Dalam hantaran sama, Nicol turut meluahkan rasa kagum terhadap segala pencapaian Azizulhasni dan yakin ikon sukan negara itu akan terus menyumbang kepada pembangunan sukan tanah air pada masa depan.
Terdahulu, Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman dikurniakan Darjah Bakti oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam.
Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan pengurniaan itu pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara, di sini.
Pengurniaan berprestij itu adalah pengiktirafan tertinggi negara terhadap dedikasi, kecemerlangan dan sumbangan berterusan beliau dalam mengangkat martabat sukan berbasikal serta memperkukuh reputasi Malaysia di persada dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








