
[VIDEO] Negara Malaysia satu amanah – Anwar
Maknai kemerdekaan dengan jiwa, pemikiran merdeka
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh lapisan masyarakat memaknai kemerdekaan negara dengan jiwa dan pemikiran merdeka.
Kata Perdana Menteri, memaknai merdeka bermaksud perlu adanya kesedaran bahawa bumi bertuah Malaysia ini merupakan satu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan oleh semua, daripada kepimpinan tertinggi sehingga rakyat.
@malaysiatribune Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ucapan Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan di Putrajaya hari ini. #malaysiatribune #merdeka #malaysia #anwar #anwaribrahim #pmx #dsai
“Dari pimpinan tertinggi sehingga rakyat harus tahu bahawa negara ini adalah suatu amanah dan segala kuasa yang ada di peringkat kecil (sama ada) di kampung (iaitu) penghulu, pejabat daerah sehingga lah di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mesti melahirkan manusia yang jiwanya merdeka, yang tidak sanggup negara ini dijadikan perkakas untuk memperolehi habuan untuk golongan elit.
“Usaha memastikan jiwa merdeka itu harus saling berterusan, memaknai merdeka maknanya segala khazanah, kekuatan dan usaha adalah untuk mengembalikan hak kepada rakyat dan mengangkat martabat negara ini. Saya yakin kalau semangat ini ada di kalangan rakyat, Malaysia akan muncul sebagai negara yang hebat dan gagah di Asia Tenggara,” katanya pada Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 6,000 hadirin tersebut turut disiarkan secara langsung di televisyen.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, anggota Kabinet dan anggota pimpinan kerajaan.
Anwar seterusnya turut menegaskan bahawa Malaysia Madani dibawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahan dan menegakkan hak setiap rakyat.
“Kesatuan dan perpaduan yang kita pupuk ini untuk apa? Untuk dijamin masa depannya melalui dasar dan pelaksanaan sekarang, sebab itu saya kata dalam menyonsong ke depan, isu yang kadang-kadang sangat tidak disenangi sebahagian kecil kita, tentang pengurusan dan tata kelola, jangan gunakan kuasa untuk memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga atau kroni.
“(Ini kerana) masalah di negara kita bukan masalah perbezaan kaum, budaya atau agama. Allah jadikan perbezaan untuk kenal dan hormat di antara satu sama lain dan kita mesti terima kenyataan itu, tidak siapa mempertikai peruntukan-peruntukan mutlak, kukuh dalam perlembagaan negara kita. Soal Bahasa Melayu, soal Islam agama Persekutuan, soal hak keistimewaan Melayu bumiputera dan kedaulatan negara.
“Negara ini tegak dulunya, tegak sekarang dan akan terus tegak hebat dengan memperakui kontrak sosial di antara semua kaum dan hak semua warganegara, memuliakan budaya termasuk suku kaum mereka tetap akan dipertahankan. InsyaAllah Kerajaan Perpaduan dan negara Madani akan mempertahankan hak setiap rakyat di bumi bertuah ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








