BERITA SEMASAGAYA HIDUP

‘Nampak biasa tapi bahaya’ – Pempengaruh kongsi bahaya kulat hitam pada bawang merah

KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang pempengaruh media sosial mengenai risiko kesihatan di sebalik penggunaan bawang merah bertompok hitam yang sering dianggap remeh oleh kebanyakan pengguna menarik perhatian netizen.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Aliff Liv Story berkongsi pengalamannya selepas mengetahui tompok hitam pada bawang merah sebenarnya berpunca daripada kulat Aspergillus niger iaitu sejenis kulat yang berpotensi menghasilkan toksin berbahaya kepada kesihatan.

Menurut Aliff, sebelum ini beliau seperti kebanyakan orang lain tidak mengambil peduli terhadap kewujudan tompok berkenaan dan tetap menggunakan bawang tersebut dalam masakan harian.

Aliff mempunyai 284,000 pengikut di Facebook.

Bagaimanapun, selepas mendapatkan maklumat lanjut, beliau menyedari kulat itu bukan sekadar kotoran biasa sebaliknya boleh memberi kesan buruk terutama kepada individu tertentu.

“Kulat ini boleh menjejaskan paru-paru, menyebabkan jangkitan telinga dan dalam kes tertentu, memberi kesan kepada buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah rupa bawang yang dijangkiti kulat tersebut kelihatan normal dan tidak menunjukkan tanda jelas bahaya sekali gus mudah terlepas pandang.

Sehubungan itu, Aliff menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memproses bawang merah yang mempunyai tompok hitam.

Menurutnya, langkah paling selamat adalah membuang bahagian yang terjejas atau menggantikan terus dengan bawang baharu.

Jika masih ingin digunakan, beliau menyarankan agar bawang dibasuh dengan air bercampur garam, dibilas dengan sempurna serta dimasak sepenuhnya bagi mengurangkan risiko.

Tambahnya, kesedaran tersebut membuatkan beliau kini lebih berhati-hati ketika menyediakan makanan, bukan kerana rasa takut, sebaliknya kerana lebih peka terhadap perkara kecil yang boleh memberi kesan besar kepada kesihatan jika diabaikan.

“Tapi benda kecil yang kita anggap remeh dan ulang hari-hari, tanpa sedar ia masuk ke dalam badan.

“Sejak tahu ni, aku jadi lebih berhati-hati di dapur. Bukan sebab takut tapi sebab sedar,” tulisnya.

Status tersebut menerima 7,600 reaksi, 1,800 komen dan 7,200 perkongsian semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button