BERITA SEMASA

Menteri Wilayah Persekutuan terima anugerah kepimpinan di Brunei

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menerima 3G Leadership Award for Government Sector (individu) 2025 sempena Majlis Anugerah Tadbir Urus Baik Global ke-10 (Anugerah 3G) 2025.

Anugerah itu yang berlangsung di Brunei hari ini diberikan berdasarkan penilaian profesional oleh Cambridge IFA sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau dalam memperkukuh amalan tadbir urus yang berintegriti, inklusif dan berpaksikan rakyat di Wilayah Persekutuan.

Menurut Jabatan Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan, sebanyak 19 penerima daripada 15 buah negara telah diraikan dalam majlis berprestij itu, yang menghimpunkan tokoh-tokoh utama daripada sektor kerajaan dan korporat dari seluruh dunia, termasuk Petronas Dagangan Berhad dan Kastam Dubai.

“Anugerah ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei, Datuk Seri Awang Mohd Riza Mohd Yunos dan disaksikan oleh Profesor Dr. Humayon Dar, Pengerusi Cambridge IFA.

“Pengiktirafan antarabangsa ini turut mencerminkan komitmen Malaysia secara amnya dan Wilayah Persekutuan secara khususnya, dalam memajukan reformasi pentadbiran sektor awam serta menyokong prinsip kelestarian bandar selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI,” katanya hari ini.

Majlis penganugerahan itu merupakan sebahagian daripada Sidang Kemuncak Tadbir Urus Baik Global 2025 anjuran Cambridge IFA, dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), bertemakan “Transformative Governance for Health, Environment and Community Sustainability”.

Anugerah 3G dinilai berdasarkan kriteria impak, ketelusan, inovasi serta tanggungjawab sosial, sekali gus mengiktiraf individu dan organisasi yang memperjuangkan tadbir urus progresif dan beretika.

Pengiktirafan itu turut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan memperkukuh tata kelola berasaskan nilai, selaras dengan aspirasi Wilayah Persekutuan sebagai peneraju tadbir urus progresif dan berfokus rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button