AGAMA

Menghidupkan malam Nisfu Syaaban: Membesarkan syiar Allah menjelang Ramadan

MALAM Nisfu Syaaban bukan sekadar pertengahan bulan dalam kalendar Islam, tetapi sebuah malam yang sarat dengan rahmat, keampunan dan peluang untuk kembali kepada Allah SWT.

Ia hadir sebagai jambatan rohani antara bulan Rejab dan Ramadan, mengajak umat Islam memperbaharui taubat, memperkukuh doa serta menghidupkan ibadah sebagai tanda membesarkan syiar-syiar Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hajj, ayat 32 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya ia adalah daripada ketakwaan hati.”

Ayat ini menjadi asas penting dalam memahami keutamaan menghidupkan malam-malam yang dimuliakan termasuk Malam Nisfu Syaaban sebagai manifestasi ketakwaan dan kecintaan seorang hamba kepada Tuhannya.

Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Dr Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin berkata, selepas umat Islam menyambut bulan Rejab dengan peristiwa agung Israk dan Mikraj, Allah SWT mengurniakan pula bulan Syaaban dengan kelebihan Malam Nisfu Syaaban sebelum disusuli bulan Ramadan yang dihiasi Lailatul Qadar.

BACA: https://malaysiatribune.news/agama/kepentingan-malam-nisfu-syaaban-dalam-islam/

“Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah telah mengurniakan kelebihan yang banyak pada bulan-bulan ini untuk menambah taqarrub dan ‘ubudiyyah hamba-hamba yang dikasihi kepada-Nya.

Nisfu Syaaban
Malam Nisfu Syaaban juga dikenali sebagai malam pengampunan dosa oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. – Foto Kolej Islam As Sofa

“Bulan Rejab dan Syaaban dijadikan sebagai kelas persediaan untuk memasuki gerbang Ramadan,” jelas beliau seperti yang dipetik dalam Kitab Kelebihan Malam Nisfu Syaaban karangan ulama besar Al-Azhar pada kurun ke-8, Al-Muhaddith Syeikh Salim Al-Sanhuri RA.

Menurut beliau, menghidupkan malam-malam yang dimuliakan juga termasuk dalam usaha membesarkan syiar Allah melalui ibadah, doa dan munajat selagi mana ia dilakukan dengan adab, keikhlasan dan berpandukan pandangan para ulama muktabar.

Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin

Namun begitu, Syeikh Muhammad Fuad turut menegur realiti semasa apabila ketibaan Nisfu Syaaban yang sepatutnya diisi dengan amal ibadah bertukar menjadi medan perbalahan pendapat dalam kalangan umat Islam.

“Hingga ke hari ini, perselisihan ini masih berpanjangan, sedangkan ia boleh diselesaikan di bawah etika adab-adab perselisihan pendapat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa pada bahagian akhir kitab berkenaan, turut dimuatkan pandangan Ahli Salaf yang mengharuskan menghidupkan Malam Nisfu Syaaban bagi meredakan kekeliruan dan ketegangan pemikiran umat.

Nama-nama dan Keistimewaan Malam Nisfu Syaaban

Malam Nisfu Syaaban dikenali dengan beberapa nama yang menggambarkan keagungannya, antaranya ialah:

– Lailah al-Mubarakah (Malam Yang Diberkati)
– Lailah al-Qasamah wa al-Taqdir (Malam Pembahagian Qada’ dan Qadar)
– Lailah al-Takfir (Malam Penghapusan Dosa)
– Lailah al-Ijabah (Malam Dimakbulkan Doa)
– Lailah al-Malaikah (Malam Hari Raya Malaikat)

Sayyidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Allah melimpahkan kebaikan pada empat malam,” dan Baginda SAW menyebut antaranya Malam Nisfu Syaaban.

Manakala Ibnu Umar RA meriwayatkan:

“Lima malam yang tidak ditolak doa padanya ialah: malam Jumaat, malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban dan dua malam Hari Raya (‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha).”

Malam Keampunan dan Rahmat Allah

Antara kelebihan paling besar Malam Nisfu Syaaban ialah peluang keampunan yang luas.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah menilik kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Dia mengampunkan penduduk bumi, kecuali orang yang menyekutukan Allah dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Imam Ahmad)

Hadis ini menjadi peringatan bahawa selain memperbanyakkan ibadah, umat Islam juga dituntut membersihkan hati daripada syirik, dendam dan permusuhan agar tidak terhalang daripada rahmat Allah.

Pembacaan selawat juga digalakkan sebagai manifestasi cinta umat kepada Rasulullah SAW dalam menggapai redha Allah SWT.

Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban bukan sekadar amalan ritual, tetapi satu usaha membesarkan syiar Allah dan menyuburkan ketakwaan hati.

Ia adalah ruang untuk bermuhasabah, memperbaiki hubungan dengan Allah dan sesama manusia serta menyediakan jiwa menyambut Ramadan dengan lebih bersedia dan bermakna.

Dalam kepelbagaian pandangan, adab, hikmah dan kesatuan umat perlu sentiasa diutamakan kerana rahmat Allah itu luas dan pintu keampunan-Nya sentiasa terbuka bagi mereka yang kembali dengan hati yang tunduk dan ikhlas.

Umat Islam digalakkan berdoa memohon keampunan kepada Allah SWT pada malam Nisfu Syaaban. – Foto Hiasan

Amalan Yang Dianjurkan Malam Nisfu Syaaban

* Melakukan Solat Sunat Taubat (2 atau 4 rakaat)

* Membaca Surah Yasin (3 kali dengan niat berbeza – pertama mohon dipanjangkan umur dalam ketaatan, kedua mohon diluaskan rezeki yang halal dan diberkati dan ketiga, mohon ditetapkan iman dan mati dalam husnul khatimah.

* Berzikir dan Berselawat
– Antara zikir yang digalakkan Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilaha illallah, Allahu Akbar

* Berdoa Penuh Pengharapan
– Bacaan Doa Nisfu Syaaban
– Mohon kebaikan dunia akhirat

* Berpuasa pada keesokan harinya (15 Syaaban)

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button