BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

MBSB Bank, Wise lancar perkhidmatan kiriman wang antarabangsa GET

KUALA LUMPUR – MBSB Bank Berhad hari ini melancarkan Global Easy Transfer (GET), satu perkhidmatan kiriman wang antarabangsa baharu hasil kerjasama dengan Wise, syarikat teknologi global terkemuka dalam pembayaran rentas sempadan.

Pelancaran itu menjadikan MBSB Bank sebagai bank pertama di Malaysia yang bergabung dengan Wise Platform, infrastruktur global yang digunakan bank dan syarikat di seluruh dunia.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dan turut dihadiri Pengerusi MBSB Berhad, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Rafe Haneef; Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB Bank, Usman Ghouse; dan Pengurus Besar APAC Wise Platform, Samarth Bansal.

Melalui integrasi tersebut, pelanggan boleh menghantar wang ke luar negara dengan lebih mudah, pantas, telus dan terus dari aplikasi perbankan runcit M Journey.

GET diwujudkan khusus untuk mengatasi isu yang sering membebankan rakyat Malaysia seperti caj tersembunyi, kadar pertukaran tidak jelas, masa pemprosesan yang panjang serta kekurangan ketelusan dalam proses pemindahan.

Rafe Haneef berkata, pelancaran itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam mewujudkan inovasi yang mengutamakan pelanggan.

“Melalui GET, kami memberi keyakinan kepada keluarga, golongan profesional dan pemilik perniagaan untuk menghantar wang ke luar negara dengan mudah.

“Semua transaksi dijamin dengan kadar pertukaran kompetitif, tiada caj tersembunyi serta ciri pemantauan transaksi secara masa nyata,” katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

Pemindahan wang melalui GET boleh dilakukan segera atau pada hari yang sama bergantung kepada destinasi, dan pelanggan boleh menjejaki transaksi mereka dari awal hingga akhir, seumpama menjejaki penghantaran bungkusan.

Bagi fasa pertama, GET menawarkan kiriman wang ke 12 mata wang utama termasuk Dolar Amerika (USD), Pound Sterling (GBP), Euro (EUR), Dolar Singapura (SGD), Rupiah Indonesia (IDR) dan Dolar Australia (AUD).

Sementara itu, Bansal menyifatkan kerjasama dengan MBSB Bank sebagai pencapaian penting buat pihaknya dan juga pengguna.

“Ini adalah kolaborasi pertama kami di Malaysia. Dengan MBSB Bank, lebih 22 juta individu di Malaysia kini boleh menghantar wang dengan pantas, selamat, telus dan mudah,” katanya dalam kenyataan sama.

MBSB Bank menegaskan, pelancaran GET membuktikan komitmen mereka terhadap inovasi dan ketelusan, seiring misi menjadikan pembayaran antarabangsa lebih praktikal, cepat dan mesra pelanggan bagi semua lapisan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button