BERITA SEMASAPMX

MBM terima peruntukan RM5 juta setahun

PORT DICKSON – Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menerima peruntukan sebanyak RM5 juta setahun bagi memperkasakan golongan muda dalam memacu negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan tersebut berkata, keyakinan dan kesungguhan kepimpinan Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid telah menjayakan Negara Madani, dengan keyakinan serta sokongan padu para belia di negara ini.

“Kesungguhan pimpinan MBM, termasuk menjayakan Negara Madani dengan keyakinan dan ilmu, maka saya setuju peruntukan RM5 juta setahun. MBM istimewa kerana badan-badan yang mewakilli persatuan, kaum, agama boleh menyatukan para belia dengan semangat perpaduan.

“MBM penting dalam menyelamatkan negara kita dalam membina kekuatan baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Anwar seterusnya berkata, MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju, menerusi peruntukan yang diumumkan itu, dan beliau mahukan dalam tempoh sebulan ini, MBM memberikan laporan mengenai rancangan pertubuhan itu bagi menambah keanggotaan para belia.

“Keduanya memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM, bermula dengan penyertaan 30 peratus, dan ketiganya memperhebatkan program, ekonomi, latihan serta kebajikan termasuk kesedaran belia dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam negara ini,” katanya.

Beliau menambah, para belia perlu mempunyai keyakinan, idealisme, berprinsip, menghormati antara satu sama lain dan tolak segala rasuah.

“Anak muda sekarang mesti sedar bahawa masa depan mereka tentukan, dengan syarat mereka mempunyai komitmen, sikap mahu menimba ilmu dan menolak kemungkaran, tolak rasuah dan kezaliman dan angkat martabat rakyat,” katanya.

Bersempena Hari Belia Negara kali ini yang bertemakan ‘Ini Masa Kita’, Anwar berkata jangan ada pula yang menggunakan agama dan kaum untuk merosakkan negara.

Anwar yang pernah memimpin MBM pada era 70-an berkata, menerusi semangat dan prinsip MBM terdahulu, ia menyebabkan beliau tegas untuk memerangi rasuah pada hari ini.

Perdana Menteri turut melancarkan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) yang menjadi pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia, dan selari dengan dasar nasional terkini di majlis hari ini.

MPBM2030 dibangunkan berdasarkan aspirasi golongan belia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 memberikan penekanan kepada empat teras, 11 objektif, 14 strategi dan 39 inisiatif.

Model ini disasarkan dapat melahirkan warganegara belia yang dinamik, kompeten, berdaya saing dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa kini serta perubahan masa hadapan.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd dan Petronas dicadangkan supaya dilibatkan dalam program latihan belia yang memberikan tumpuan dalam aspek kepemimpinan.

Anwar berkata, beliau akan membawa cadangan berkaitan program latihan di institut latihan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke peringkat Jemaah Menteri untuk diluluskan dalam masa terdekat.

“Saya akan bawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat supaya agensi-agensi terlibat, baik Perkeso, Khazanah, Petronas; untuk turut terlibat dalam program latihan di institut latihan belia di bawah KBS,” katanya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button