HIBURAN

Marissa nafi sengaja tidak jemput Abby hadir sambutan hari lahir

KUALA LUMPUR – Anak kepada pelakon Abby Abadi, Marissa Dania Hakim menafikan dakwaan bahawa dia sengaja tidak menjemput ibunya menghadiri majlis sambutan ulang tahunnya yang berlangsung pada Jumaat lalu.

Marissa, 21, berkata, jemputan ke majlis berkenaan telah dihantar kepada ibunya serta bapa tirinya dan dia mengharapkan kehadiran mereka pada hari istimewa tersebut.

Menurutnya, dia berasa sedih apabila ibunya tidak hadir sehingga menitiskan air mata di hadapan ahli keluarga terdekat.

“Saya memang mahu mama ada bersama. Saya sampai menangis di depan Mak Long dan Mak Teh (ibu saudara) kerana terlalu sedih mama tiada.

“Saya kurang faham kenapa isu jemputan yang dihantar semula itu diperbesarkan sedangkan semua tetamu menerima jemputan dengan cara yang sama daripada pereka jemputan, termasuk papa, abah dan mummy,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.

Marissa berkata demikian bagi menjawab dakwaan segelintir netizen yang mendakwa dia tidak menjemput Abby secara peribadi ke majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Marissa turut mengakui hubungannya dengan ibunya menjadi semakin renggang sejak kebelakangan ini susulan beberapa salah faham.

BACA JUGA:
Abby Abadi kongsi luka lama, jelas sebab tidak hadir sambutan hari jadi Marissa

Menurutnya, Abby sebelum ini turut berkecil hati apabila dia tidak bertemu dengannya selepas selesai urusan di mahkamah dan hanya bertemu bapanya, Norman Hakim.

“Perkara itu memang tidak dirancang. Sejujurnya saya hanya perlukan sedikit masa untuk bersendirian selepas urusan di mahkamah.

“Kita sebenarnya boleh berjumpa keesokan harinya tanpa perlu menjadikan perkara itu sebagai isu.

“Sejak itu saya rasa hubungan kami semakin renggang walhal dua hari sebelum itu kami baru sahaja berjumpa,” katanya.

Sebelum ini, ketiadaan Abby pada majlis sambutan ulang tahun Marissa mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen selepas pelakon itu meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat menghadiri majlis berkenaan.

Luahan Abby di media sosial turut mengundang pelbagai komen, termasuk terhadap bekas suaminya, Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button