HIBURAN

Abby Abadi kongsi luka lama, jelas sebab tidak hadir sambutan hari jadi Marissa

KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan, Abby Abadi tampil menjelaskan sebab ketidakhadirannya pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak keduanya, Marissa Dania Hakim selepas perkara itu menjadi perhatian ramai di media sosial.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, berkata, ketiadaannya pada majlis berkenaan bukan disebabkan perasaan marah terhadap anaknya, sebaliknya kerana merasakan dirinya tidak mampu menandingi sambutan yang diadakan dalam era media sosial dan kandungan digital masa kini.

Menerusi perkongsian di platform Threads, Abby berkata, beliau tetap mengingati dan meraikan hari istimewa setiap anaknya walaupun tidak dapat hadir pada sambutan kali ini.

“Jangan salah faham. Saya ucap selamat hari lahir kepada Marissa bukan sebab marahkan dia. Saya cuma mahu dia tahu hari istimewa anak-anak sentiasa dalam ingatan saya.

“Tak pernah sekalipun saya gagal meraikannya kecuali tahun ini. Saya akui saya tidak mampu mengadakan majlis besar-besaran.

“Apa yang saya miliki hari ini adalah hasil kerja keras untuk memberikan kehidupan yang baik kepada anak-anak,” katanya.

abby
Tangkap layar luahan Abby di Threads mengenai luka lama bersama bekas suaminya.

Dalam perkongsian sama, Abby turut meluahkan rasa sedih apabila merasakan pengorbanannya sebagai ibu seolah-olah dilupakan.

Beliau juga mengimbau pengalaman membesarkan tiga anak hasil perkahwinannya dengan bekas suami, pelakon Norman Hakim termasuk melalui tempoh kehamilan dan proses kelahiran dalam keadaan yang menurutnya banyak dihadapi secara bersendirian.

“Cuma saya nak anak-anak saya tahu dari awal mengandung sampailah melahirkan kamu semua, mama mu ini berjuang sendiri. Anak nombor satu keadaan masih baharu dah terasa deritanya, tapi sebab sayang teruskan juga.

“Anak nombor dua mengandung pun layan diri. Menangis sendiri, melayan jiwa sendiri sebab suami tak balik, tahu-tahu nak bersalin, dia muncul. Sikit pun saya tak marah, saya buat rileks. Saya bersalin dalam kereta dan sambut sendiri anak,” katanya lagi.

Abby turut menyentuh isu berkaitan keadilan terhadap anak-anak serta nafkah yang didakwanya tidak pernah diterima secara langsung, yang menurutnya menjadi antara punca hubungan mereka semakin renggang.

“Apabila saya bangkitkan soal keadilan untuk anak-anak dan nafkah yang saya tak pernah dapat di tangan, bermulalah pelbagai konflik. Kalau tak selesai di dunia, akhirat pasti bertemu,” ujarnya.

Mengakhiri perkongsiannya, Abby berkata, pengalaman yang dilalui membuatkannya lebih memahami makna trauma, namun bersyukur kerana ujian tersebut turut mendekatkannya kepada Allah SWT dan memberinya kekuatan.

Sebelum ini, ketiadaan Abby pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran Marissa yang dianjurkan Norman bersama isterinya, Memey Suhaiza mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

Marissa merupakan anak kedua hasil perkahwinan Abby dan Norman yang mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum bercerai pada 2009.

Pasangan itu turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 23, dan Maria Danisha Hakim, 18.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button