PEMERGIAN Sasterawan Negara, Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana pada 26 Mei tahun lepas meninggalkan kesan mendalam terhadap dunia kesusasteraan tanah air.
Dalam suasana duka ini, penganugerahan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-16 hadir sebagai satu pengiktirafan yang sarat dengan makna bukan sahaja kepada sosoknya sebagai penulis dan pemikir tetapi juga kepada tradisi keintelektualan yang telah lama dibinanya.

Isu yang timbul berkaitan penganugerahan selepas pemergian beliau wajar diperjelaskan secara adil.
Hakikatnya, proses pencalonan dan keputusan pemilihan telah diselesaikan ketika Allahyarham masih hidup.
Ketiadaan beliau pada saat pengumuman rasmi adalah ketentuan Ilahi yang tidak dapat dielakkan.
Maka, keadaan ini tidak seharusnya ditafsir sebagai perubahan terhadap prinsip penganugerahan, sebaliknya satu situasi luar jangka yang bersifat khusus.
Sebagai bekas pelajar kepada Allahyarham, saya berpeluang menyaksikan sendiri ketekunan dan disiplin beliau dalam dunia penulisan.
Pada usia yang lanjut, beliau masih aktif menulis, mengkritik dan menghasilkan karya yang mengemukakan pandangan kritis terhadap perkembangan sastera mutakhir.
Kesungguhan ini membuktikan bahawa beliau bukan sekadar tokoh akademik, tetapi seorang inteligensia yang sentiasa terlibat secara langsung dalam wacana sastera tanah air.
Sumbangan beliau tidak terhenti setakat penghasilan karya kreatif dan kritikan semata-mata.
Menerusi landasan teori Teksdealisme ciptaannya, Allahyarham telah membentuk satu kerangka pemikiran yang signifikan dalam kajian kesusasteraan Melayu.
Teori ini bukan sahaja memperkaya pendekatan analisis teks, malah telah melahirkan ramai sarjana pada peringkat pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah yang menjadikan teori tersebut sebagai kerangka penyelidikan mereka.

Dalam erti kata lain, legasi intelektual beliau turut berkembang melalui horizon akademik yang dibimbing secara langsung dan tidak langsung oleh pemikirannya.
Sementara itu, penganugerahan Anugerah Sastera Negara ini juga perlu dilihat dari sudut yang lebih holistik.
Nilainya tidak terhad kepada pengiktirafan simbolik, tetapi merangkumi usaha memperkukuh kedudukan karya dan pemikiran beliau dalam ekosistem ilmu.
Melalui penerbitan semula, penggunaan dalam pendidikan serta penelitian ilmiah, sumbangan Mana Sikana akan terus berkembang dan memberi kesan kepada generasi akan datang.
Dalam konteks perbincangan umum, adalah lebih wajar untuk mengelakkan perbandingan dengan tokoh-tokoh lain yang tidak menerima anugerah ini.
Setiap era mempunyai kerangka penilaian tersendiri dan penghargaan terhadap sumbangan mereka boleh dizahirkan melalui pelbagai cara lain yang lebih fleksibel.
Hakikatnya, penganugerahan ini membuka ruang untuk menilai semula pendekatan dalam memilih Sasterawan Negara.

Aspek kualiti dan kerelevanan karya harus menjadi keutamaan, bukannya faktor usia atau giliran.
Pengiktirafan yang lebih awal kepada tokoh yang masih aktif akan memberi manfaat dan laba yang lebih besar kepada perkembangan sastera negara.
Tanggungjawab institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka amat signifikan dalam memastikan proses ini terus relevan dan berwibawa.
Secara tuntasnya, pengiktirafan kepada Mana Sikana bukan sekadar satu pengumuman rasmi dalam dunia kesusasteraan, tetapi juga sebuah peringatan yang menyentuh nurani bahawa insan besar ini telah pergi sebelum sempat meraikan pengiktirafan yang sepatutnya menjadi detik bermakna dalam hidupnya.
Yang tinggal kini hanyalah kritikan dalam teks, gagasan dalam teori dan jejak pemikiran yang terus hidup dalam karya serta ingatan para pelajar yang pernah dibimbingnya.
Pemergian beliau mengingatkan kita bahawa masa tidak selalu menunggu pengiktirafan dan penghormatan kadangkala datang pada saat yang sudah terlambat untuk disambut dengan senyuman seorang rausyanfikir.
Namun, legasi beliau tetap berdiri teguh, walaupun tidak bersama jasadnya tetapi kekal dalam cakerawala ingatan ilmu, renung fikir dan sejarah kesusasteraan tanah air.
ARTIKEL OLEH:
- Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

