BERITA SEMASA

Malaysia Tribune eratkan silaturahim dalam majlis berbuka puasa bersama kakitangan

PUTRAJAYA – Portal berita Malaysia Tribune menganjurkan majlis berbuka puasa bersama kakitangan dan keluarga masing-masing sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menggerakkan operasi portal tersebut.

Majlis yang berlangsung meriah di Banglo 289, IOI City Mall semalam, menghimpunkan kakitangan Malaysia Tribune bersama ahli keluarga dalam suasana santai dan penuh ukhuwah.

MT berbuka
Sebahagian kakitangan Malaysia Tribune yang hadir pada majlis ini.

Ketua Pengarang Malaysia Tribune, Sharaimei Shaik Ahmedullah berkata, program berkenaan dianjurkan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan serta keluarga mereka.

Menurut beliau, majlis itu juga merupakan tanda penghargaan terhadap usaha gigih semua warga kerja yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi portal tersebut.

“Selain mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga kerja, program ini juga sebagai penghargaan kepada kakitangan yang telah memberikan komitmen tinggi sejak penubuhan Malaysia Tribune sehingga kini yang telah mencecah usia empat tahun,” katanya.

Berucap dalam majlis tersebut, Sharaimei berkata, meskipun masih baharu dan mentah dalam industri media, portal berita tersebut telah berjaya memposisi diri sebagai media arus perdana yang sahih dan diyakini.

Beliau berkata, media arus perdana memainkan peranan penting dalam memastikan penyebaran maklumat yang sahih dan tepat, sekali gus menangkis berita-berita sensasi dan spekulasi yang memenuhi di media sosial.

MT Berbuka
Ahli keluarga dan anak-anak juga teruja menikmati menu berbuka yang pelbagai variasi.

“Dengan ledakan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) setiap berita dan video yang memenuhi ruangan maya perlu ditapis terlebih dahulu dan tidak boleh ditelan bulat-bulat.

“Di sinilah terletaknya peranan media arus perdana untuk menangkisnya dengan memberi maklumat yang tepat supaya orang ramai tidak terpedaya,” katanya.

Sementara itu, majlis berbuka puasa itu turut diserikan dengan pelbagai hidangan tradisional yang menyelerakan.

Antara menu yang disediakan ialah gulai udang galah, siput sedut, daging harimau menangis, kambing golek serta ikan patin tempoyak, selain pelbagai kuih-muih tradisional dan buah-buahan.

MT Berbuka
Kakitangan Malaysia Tribune bersama ahli keluarga masing-masing bergambar bersama sebelum majlis berbuka.

Terdahulu sebelum berbuka puasa, semua kakitangan turut mengambil peluang mengadakan sesi fotografi raya di kawasan lapang berhampiran IOI City Mall sebagai kenangan bersama menjelang sambutan Aidilfitri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button