BERITA SEMASA

Malaysia-Thailand nilai kerjasama dua hala, pembangunan sempadan

PUTRAJAYA – Malaysia dan Thailand akan meneliti kemajuan kerjasama dua hala dalam bidang politik dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan serta pembangunan kawasan sempadan menerusi dua mesyuarat yang berlangsung di sini, hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala Ke-16 dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama Bagi Kawasan Sempadan Ke-7 antara Malaysia dan Thailand.

Kedua-dua mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Thailand yang juga Menteri Luar, Sihasak Phuangketkeow, selepas mesyuarat peringkat pegawai kanan.

“Perbincangan turut merangkumi kerjasama sosial dan kebudayaan serta pembangunan kawasan sempadan, termasuk projek kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

“Mesyuarat berkenaan juga merupakan kesinambungan daripada Lawatan Rasmi Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ke Malaysia pada 9 dan 10 Julai lalu,” menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Thailand muncul sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2025, dengan jumlah dagangan bernilai RM118.57 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat kepada RM97.76 bilion berbanding RM77.38 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Perkembangan itu mencerminkan pertumbuhan hubungan perdagangan serta potensi ekonomi yang berterusan antara Malaysia dan Thailand,” menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button