BERITA SEMASA

Majlis Peguam gesa kerajaan segera isi kekosongan badan kehakiman

PUTRAJAYA – Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan segera menyelesaikan empat tuntutan utama yang dikemukakan dalam memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri hari ini, termasuk membabitkan kekosongan jawatan dalam badan kehakiman.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, walaupun tiada garis masa ditetapkan, isu kekosongan dalam institusi kehakiman menimbulkan kebimbangan serius kerana menyebabkan kes tertangguh sehingga tahun 2030.

“Kami difahamkan terdapat kes yang telah ditetapkan perbicaraannya sehingga tahun 2030 akibat kekosongan jawatan dalam badan kehakiman.

“Kami melihat banyak kenyataan dan perbincangan di media serta media sosial yang berpotensi menjejaskan kebebasan institusi kehakiman. Kami mahu perkara itu ditangani segera,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Perdana Menteri, petang ini.

Menurutnya, kekosongan berkenaan bukan sahaja mengganggu kelancaran perjalanan sistem kehakiman, malah memberi kesan langsung kepada anak guam dan pencari keadilan.

Memorandum berkenaan diterima Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman yang mewakili Perdana Menteri.

Terdahulu, Mohamad Ezri mengetuai perarakan aman membabitkan kira-kira 1,600 peserta termasuk peguam dan orang awam sejauh 2.6 kilometer dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri bermula pukul 2.30 petang.

Mohamad Ezri menegaskan, tuntutan tersebut bukan berkisar individu atau politik tetapi demi mempertahankan integriti institusi kehakiman yang bebas dan berkecuali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button