AGAMA

Luaskan rezeki buat ahli keluarga sempena Hari Asyura

KUALA LUMPUR – Umat Islam digalakkan untuk meluaskan rezeki kepada ahli keluarga sempena Hari Asyura iaitu 10 Muharam, sebagai salah satu amalan sunah yang penuh dengan keberkatan dan limpahan kebaikan.

Menurut Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz, Hari Asyura merupakan hari yang sangat istimewa dalam sejarah Islam kerana padanya berlaku pelbagai peristiwa besar yang menunjukkan pertolongan dan rahmat Allah SWT kepada para nabi dan hamba-Nya yang terpilih.

“Pada 10 Muharam, Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS daripada kekejaman Firaun. Ia juga merupakan hari di mana Nabi Adam AS diterima taubatnya, Nabi Ibrahim AS diselamatkan daripada kezaliman Raja Namrud, Nabi Nuh AS diselamatkan daripada banjir besar, Nabi Yusuf AS dibebaskan daripada penjara dan Nabi Yunus AS dikeluarkan dari perut ikan nun,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, peristiwa-peristiwa agung ini menjadi bukti bahawa 10 Muharam merupakan hari yang penuh rahmat dan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk melakukan kebaikan. Jika tidak berkesempatan berpuasa, kita masih boleh bersedekah dan menggembirakan ahli keluarga dengan meluaskan rezeki kepada mereka,” ujar beliau.

Amalan ini bukan sahaja menyuburkan kasih sayang sesama keluarga, malah menjadi sebab kepada keberkatan rezeki sepanjang tahun, sebagaimana yang disebut dalam beberapa riwayat ulama terdahulu.

Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al Hafiz

Dalam satu Hadis Riwayat Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meluaskan (rezeki) terhadap keluarganya pada Hari Asyura, nescaya Allah meluaskan ke atasnya (rezeki) sepanjang tahun itu.”

Menurut Dr. Muhammad Sufi, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam menilai kekuatan hadis tersebut, ramai ulama menyatakan bahawa amalan itu tidak bercanggah dengan prinsip Islam kerana ia mendorong kepada kebaikan dan kasih sayang dalam keluarga.

“Amalan ini juga selaras dengan semangat ehsan dan taqarrub kepada Allah, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar, di mana setiap usaha mempererat kasih sayang dalam keluarga menjadi kekuatan yang besar untuk menghadapi dugaan hidup.

“Semoga pada Hari Asyura ini, kita berusaha mengambil peluang untuk menggembirakan keluarga, menyebarkan kasih sayang dan menyemai keberkatan melalui rezeki yang dikongsikan semata-mata untuk meraih keredhaan Allah SWT,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button