Lima tahun Anugerah Lagu Indie: Dari pentas alternatif ke kejayaan Mafidz
PETALING JAYA – Sejak diperkenalkan pada 2020, Anugerah Lagu Indie (ALI) berkembang menjadi platform utama pemuzik bebas mengetengahkan karya asli tanpa batas bahasa.
Dalam tempoh lima tahun, lebih 3,000 penyertaan diterima, menjadikannya gerakan budaya yang mengangkat martabat muzik alternatif tanah air.
Bermula dengan kemenangan Penawar (Margosa) pada 2020, ALI mencatat sejarah pada 2021 apabila Enge Port (Arunboii) menjadi lagu berbahasa Tamil pertama dinobatkan juara.

Rekod penyertaan tertinggi direkodkan pada 2022 dengan 808 lagu, dimenangi Sinaran (Late Night Frequency ft Ichu).
Tahun 2023 pula menyaksikan Pembunuh Malam (Lunar) meraih hadiah wang tunai RM15,000 jumlah tertinggi pernah ditawarkan.

2024: Mafidz sapu dua trofi utama
Sejarah itu diteruskan pada edisi kelima, apabila kumpulan Mafidz mencatat kemenangan berganda di Pentas Akhir ALI 2024 baru-baru ini.
Lagu Senandung bukan sahaja dinobatkan Lagu Terbaik, malah memenangi kategori Lagu Rock Terbaik, menjadikan mereka satu-satunya peserta yang membawa pulang dua trofi utama edisi itu.
Anugerah disampaikan oleh Taja daripada kumpulan Meet Uncle Hussain dan Emmett Ishak dari kumpulan legenda Butterfingers.
Bertemakan “Vibrant Retro-Pop”, ALI24 menerima 630 penyertaan yang dinilai oleh barisan juri profesional diketuai Wing Meng, bersama AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Luca Sickta, Roshan Jamrock dan Prof. Madya Dr Muhammad Sayyid Shafiee.
Selain Mafidz, anugerah lain dimenangi Odelia Tirza (TV SHOW) bagi kategori Lagu Pop Terbaik, B-Heart (Shh Shh) bagi Lagu Hip Hop Terbaik, Umar Akmal (Persembahan Terbaik) dan Chylypdy (Kelabu 2024) bagi Lagu Terpaling Platinum Carta Indie Kita.
Acara turut dimeriahkan persembahan pembukaan Kyoto Protocol dan persembahan istimewa Seven Collar T-Shirt, dengan siaran langsung berdurasi tiga jam setengah melalui YouTube rasmi ALI.
Pentas akhir turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, selain selebriti seperti Loca B, Shamaine Othman dan Sharifah Amani.
Program itu mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Rakita 107.9, Honda Motorcycle Malaysia serta rakan media termasuk Malaysia Tribune dan Music Addicts Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








