Lelaki disyaki sedang curi kabel maut terkena renjatan elektrik
KLANG – Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di tepi Jalan Acob, Kapar di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar pukul 10 pagi tadi memaklumkan penemuan jasad seorang lelaki di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kegiatan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kedudukan mangsa ketika ditemukan menunjukkan tangannya masih melekat pada kabel tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Polis turut menemukan peralatan memotong kabel, mangga serta sebuah motosikal yang dipercayai digunakan mangsa di lokasi kejadian.
Beliau menambah, mangsa dikenal pasti waris sebagai lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an dan berasal dari Kapar, Klang.
“Kes disiasat sebagai laporan mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk bedah siasat,” katanya.
Ramsay berkata, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Mejar Azhar di talian 012-349 5921 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








