Lelaki bersenjata parang ditembak polis, miliki 10 rekod jenayah lampau
MACHANG – Tindakan agresif seorang lelaki bersenjatakan parang yang cuba menyerang anggota polis berakhir dengan dia ditembak di hadapan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, suspek yang berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan di paha kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Machang.
Menurut sumber, insiden berlaku apabila sepasukan polis peronda mengesan dua lelaki menaiki motosikal yang berhenti di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di hadapan kampus berkenaan.
“Pembonceng motosikal kemudian menuju ke bank dan apabila anggota polis menghampirinya untuk pemeriksaan, dia enggan memberikan kerjasama.
“Suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang daripada begnya sebelum cuba menyerang anggota polis,” katanya memetik laporan BH Online.
Sumber itu berkata, bagi mempertahankan diri, seorang anggota telah melepaskan tembakan amaran ke udara, namun suspek masih berdegil dan tidak mengendahkan arahan.
“Keadaan itu memaksa polis melepaskan tembakan ke arah suspek yang kemudian mengenai pahanya,” katanya.
Suspek dilaporkan cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang berhampiran, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Siasatan awal mendapati suspek mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah dan dipercayai turut terbabit dalam kejadian rompakan di sebuah premis 7-Eleven di Machang ketika sambutan Hari Raya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi memperincikan kejadian tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














