BERITA SEMASA

Lebih 42,000 individu hilang pekerjaan, sektor pembuatan paling terjejas

KUALA LUMPUR – Seramai 42,807 individu dilaporkan kehilangan pekerjaan setakat 12 Jun lalu, dengan sektor pembuatan terus merekodkan jumlah pemberhentian pekerja tertinggi susulan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan permintaan global.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 134,123 tuntutan faedah di bawah Skim LINDUNG Kerjaya telah diluluskan melibatkan peruntukan keseluruhan RM248.23 juta.

Menurut beliau, bantuan tersebut merangkumi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Fi Latihan (FL) dan Elaun Latihan (EL).

“Sektor pembuatan merekodkan 8,702 kes kehilangan pekerjaan atau 20.7 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti sektor perdagangan borong dan runcit dengan 7,560 kes serta aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan sebanyak 4,239 kes,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta Kementerian Sumber Manusia menjelaskan kesan krisis ekonomi global serta statistik terkini pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Ramanan berkata, peningkatan pemberhentian pekerja dalam sektor pembuatan didorong oleh lonjakan kos operasi domestik selain ketidaktentuan permintaan global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan memperuntukkan lebih RM580 juta menerusi Skim LINDUNG Kerjaya bagi membantu lebih 56,000 pekerja yang terjejas melalui pelbagai bentuk bantuan kewangan, sokongan dan program penempatan semula pekerjaan.

“Langkah ini penting bagi memastikan jaringan keselamatan sosial negara kekal dinamik dan mampan dalam menghadapi impak krisis ekonomi global yang berpanjangan,” katanya.

Menurut beliau, kementerian turut menambah baik Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), termasuk menyemak kadar bayaran Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Latihan dan Fi Latihan, selain memperkenalkan Elaun Bantuan Mobiliti bagi menggalakkan pergerakan tenaga kerja ke kawasan yang menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, PERKESO turut memperkukuh perkhidmatan pekerjaan dengan menugaskan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan untuk memantau setiap kes secara proaktif melalui kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan serta bantuan penempatan semula.

Dalam usaha mempercepatkan penempatan semula pekerja, sebanyak 2,989 Karnival Kerjaya telah dianjurkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga 31 Mei lalu.

Program itu berjaya menarik kehadiran 86,594 pencari kerja tempatan, dengan 14,029 individu memperoleh pekerjaan secara langsung, manakala 15,809 lagi berjaya melepasi ke peringkat temu duga seterusnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button