BERITA SEMASA

Lawatan kerja ke Indonesia perkukuh hubungan strategik pendidikan tinggi serantau

JAKARTA – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim memulakan lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula hari ini dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi.

Lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan KPT untuk merancakkan hubungan strategik pendidikan serantau selain meneroka potensi baharu dalam aspek mobiliti akademik, penyelidikan bersama serta pembangunan modal insan.

Dr. Aneese turut mengadakan beberapa mesyuarat dalam rangka lawatan kerja tersebut.

Sepanjang lawatan, Dr. Anesee telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Direktor Jeneral Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Republik Indonesia, Prof Dr. Khairul Munadi.

Perbincangan tertumpu kepada pemeterian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi dengan tumpuan kepada kerjasama akademik, pertukaran pelajar dan tenaga pengajar serta penyelidikan dalam teknologi termaju.

“Kerjasama strategik dengan Indonesia bukan sahaja akan memperkukuh jaringan akademik antara kedua-dua negara, malah membuka lebih banyak peluang kepada institusi pengajian tinggi kita untuk meneroka bidang baharu seperti teknologi pintar, keusahawanan dan inovasi pendidikan,” kata KPT dalam satu kenyataan.

Setakat Mac 2025, seramai 11,293 pelajar Indonesia sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia manakala 1,122 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di Indonesia.

Terdahulu, beliau turut mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Husrin Tengku Hussain.

Kedua-dua pihak turut membincangkan strategi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan pendidikan tinggi kepada rakyat Indonesia.

Selain itu, lawatan turut melibatkan kunjungan ke Pejabat Education Malaysia (EM) Indonesia yang diiringi taklimat operasi oleh Pengarahnya, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.

Lawatan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin.

Lawatan kerja ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkukuh daya saing pendidikan tinggi negara di peringkat serantau dan global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button