GAYA HIDUPINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANIRENCANA

KRT: Penggerak perpaduan selama lebih lima dekad

LEBIH lima dekad lalu, negara berdepan ujian getir yang menggugat keharmonian rakyat melalui peristiwa 13 Mei 1969.

Tragedi itu menjadi titik tolak kepada kesedaran bahawa keamanan dan perpaduan tidak boleh diambil mudah, sebaliknya perlu dipelihara, diperkukuh dan dipertahankan.

Atas kebijaksanaan kepimpinan negara ketika itu, khususnya Allahyarham Tun Abdul Razak, lahirlah gagasan Rukun Tetangga (RT) melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969.

Aaron (tiga dari kiri) ketika melawat KRT Kampung Bukit Kechik di Tanah Merah, Kelantan.

Inisiatif itu menjadi wadah membina benteng keselamatan masyarakat serta memperkukuh integrasi rakyat selepas tragedi tersebut.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pertama ditubuhkan pada 1974, bermula dengan KRT Kampung Baru Macap Baru pada 1 Januari, diikuti KRT Pekan Alor Gajah pada 2 Januari dan KRT Pekan Masjid Tanah pada 3 Januari.

“Dari detik inilah bermula perjalanan panjang KRT sebagai institusi rakyat yang memelihara keamanan dan keharmonian negara.

“Seiring dengan perkembangan zaman, fungsi Rukun Tetangga turut mengalami transformasi.

Melalui kewujudan KRT ia mampu membina hubungan mesra antara jiran melalui aktiviti yang dijalankan.

“Pada awalnya menekankan rondaan wajib bagi keselamatan kejiranan, ia kemudian berkembang kepada membina hubungan mesra sesama jiran pada 1980-an,” katanya.

Tambah beliau, tahun 2001 menyaksikan Rukun Tetangga diberi wajah baharu melalui konsep pembangunan komuniti, sebelum Model Transformasi Rukun Tetangga dilancarkan pada 2010 bagi menyusun semula peranan KRT agar lebih inklusif.

Transformasi ini terus diperkasakan pada 2024 dengan pengenalan Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif oleh Kementerian Perpaduan Negara, selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Kini, dengan jumlah 8,529 KRT di seluruh negara, institusi ini bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada semangat kejiranan, malah platform integrasi masyarakat melalui pelbagai program seni, budaya, sukan rakyat dan aktiviti komuniti.

Inisiatif ini menjadi tulang belakang kepada semangat kejiranan dan platform integrasi masyarakat melalui pelbagai program.

Selain itu, KRT juga berfungsi sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, menyampaikan aspirasi dasar serta memastikan keperluan akar umbi diberi perhatian.

Tegas Aaron Rukun Tetangga kekal relevan walaupun masyarakat kini berdepan perubahan teknologi dan gaya hidup moden.

“KRT bukan sekadar sejarah atau simbol, tetapi mekanisme hidup yang mendukung nilai sejagat iaitu kepercayaan, kebersamaan dan rasa tanggungjawab terhadap jiran.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, kita mahu KRT terus progresif, digerakkan komuniti setempat dan menjadi medan pembinaan bangsa yang inklusif, harmoni serta berdaya tahan,” jelasnya.

Salah satu program jualan yang disertai oleh peserta KRT yang mampu menjana pendapatan mereka.

Beliau turut berkongsi bahawa banyak negara maju mengekalkan model inisiatif kejiranan mereka kerana ia menyentuh aspek paling asas kehidupan iaitu rasa selamat, rasa memiliki dan rasa kebersamaan.

“Sebagai contoh, di United Kingdom, program Neighbourhood Watch terus berfungsi sebagai platform keselamatan komuniti dengan penyertaan ribuan kawasan kejiranan di seluruh negara.

“Di Jepun pula, Koban System yang menghubungkan balai polis mini dengan komuniti setempat menjadi model berkesan dalam membina keyakinan, kerjasama dan rasa selamat dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Meninjau perjalanan 50 tahun, Rukun Tetangga terbukti sebagai institusi dinamik yang relevan dan kekal menjadi ejen penyatuan negara serta akan terus diperkasakan untuk diwarisi generasi akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button