KPKT perkasa kempen Rumah PR1MA Kita bantu rakyat miliki kediaman sendiri
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperkasa usaha membantu rakyat memiliki kediaman sendiri melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif perumahan yang lebih inklusif dan fleksibel.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT komited mengenal pasti pendekatan yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat, termasuk pelaksanaan Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) yang menetapkan siling harga Rumah Mampu Milik (RMM) pada RM300,000, tertakluk kepada dasar perumahan di peringkat negeri.
Katanya, pelaksanaan dasar itu turut menyumbang kepada peningkatan kadar pemilikan rumah warga negara kepada 76.5 peratus setakat ini.
“Selain itu, KPKT juga telah melaksanakan pemetaan harga RMM berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperoleh daripada Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.
“Pemetaan ini menjadi panduan kepada pemaju dan agensi penyedia perumahan dalam menetapkan harga jualan rumah di sesuatu lokaliti dan boleh diakses melalui Dashboard Maklumat Rumah Mampu Milik di laman web Malaysia Urban Observatory (MUO),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memperkukuh agenda pemilikan rumah, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) kini melaksanakan Kempen Rumah PR1MA Kita mulai bulan ini hingga 31 Disember 2025.
Melalui kempen itu, PR1MA menawarkan pelbagai insentif termasuk, diskaun sehingga 25 peratus bagi unit kediaman terpilih; internet percuma selama setahun; pakej peranti rumah pintar dan tanggungan sepenuhnya yuran guaman bagi membantu rakyat memiliki rumah pertama, sekali gus meringankan beban kewangan mereka.
Nga berkata, KPKT turut mempertimbangkan cadangan pembangunan semula bangunan komersial terbengkalai untuk dijadikan rumah mampu milik.
“Kajian menyeluruh dari aspek perundangan, teknikal dan kewangan sedang dijalankan agar pelaksanaan itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa membebankan fiskal negara,” katanya.
Menjawab isu sasaran pembinaan 1 juta unit rumah mampu milik, beliau menjelaskan angka itu merangkumi semua agensi penyedia perumahan di peringkat Persekutuan, negeri dan swasta bagi tempoh keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13, termasuk PR1MA.
“Tahun ini, sebanyak RM38 juta diluluskan bagi kerja pra-pembangunan Bandar PR1MA Teluk Intan, manakala RM75 juta diperuntukkan untuk Projek Rumah Rakyat (PRR) Harmoni Bestari Jaya di Selangor bagi menyelesaikan isu perumahan pekerja lima estet di negeri itu,” katanya.
Tambah Kor Ming, di bawah Belanjawan 2026, PR1MA turut menerima peruntukan RM30.1 juta bagi kerja awalan tiga projek baharu yang akan dimulakan tahun depan.
“Sejak ditubuhkan, PR1MA telah melaksanakan 91 projek perumahan melibatkan lebih 54,000 unit kediaman di seluruh negara, memberi manfaat kepada lebih 175,000 rakyat Malaysia.
“Selaras dengan Agenda Reformasi Perumahan Kerajaan MADANI, KPKT menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030.
“Bagi menyokong sasaran ini, PR1MA telah merangka Teras Pembangunan Strategik yang menyasarkan pembinaan 25,000 unit baharu menjelang 2030,” katanya.
Antara projek utama yang dirancang di bawah teras itu ialah Residensi Brickfields 2 dan Bandar Madani Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Residensi Padang Temu di Melaka, Bandar PR1MA Teluk Intan di Perak serta Teluk Kumbar di Pulau Pinang.
“KPKT kekal komited menyediakan kediaman yang berkualiti, selamat dan berdaya huni demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








