Kos utiliti disemak, elak bebankan pelabur asing, industri eksport – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti semula kos perkhidmatan utiliti yang didakwa membebankan pelabur termasuk caj tinggi oleh syarikat utiliti dan agensi berkaitan bagi memastikan ia tidak menjadi penghalang kepada kemasukan pelaburan asing serta pertumbuhan eksport negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi kerajaan ketika ini adalah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan mengurangkan kos perniagaan agar persekitaran pelaburan negara kekal kompetitif.
“Strategi kita mestilah meningkat tahap kecekapan dan mengurangkan kos. Kos perniagaan, kos pengkhidmatan dan setelah mendengar pandangan, saya akan mengarahkan supaya diteliti semula apakah kos itu yang dianggap munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Chean Chung membangkitkan maklum balas pelabur yang berdepan kos tinggi dan kekangan birokrasi daripada beberapa pemain utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) serta koridor utiliti negeri termasuk caj pembinaan pencawang elektrik (substation) yang mencecah ratusan juta ringgit dan sumbangan IWK sebanyak satu peratus daripada nilai pelaburan.
Beliau memberi contoh, projek bernilai RM2 bilion perlu membayar RM20 juta kepada IWK sebagai contribution sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap daya tarikan pelaburan asing.
Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak menolak hakikat bahawa prestasi perdagangan dan eksport negara menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, namun isu kos perkhidmatan tetap perlu diberi perhatian serius.
“Walaupun dari sudut perdagangan, peningkatan itu sangat memberansangkan, tidak menjejaskan dari sudut penambahan kos, tetapi kita harus ambil sikap terbuka andai kata beberapa kos perkhidmatan seperti yang disebut oleh Yang Berhormat terlibat umpamanya, IWK, hal ini akan diberikan perhatian khas oleh kementerian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


