Kisah sebiji kurma di bumi Gaza
SEBUTIR kurma. Buah kering sepanjang empat sentimeter yang tiada begitu banyak keistimewaan jika diletak di luar bumi Gaza.
Tetapi di Gaza, di mana tiada apa yang datang dengan mudah dan setiap perkara membawa makna, sebiji kurma boleh menjadi lambang ketabahan, pengorbanan dan kasih sayang yang tidak berpenghujung.
Bagi Asem Alnabih, seorang jurutera, penyelidik PhD dan jurucakap Majlis Perbandaran Gaza, sebiji kurma yang disimpannya selama lebih enam bulan mempunyai seribu erti dan cerita.

Bukan kerana ia tidak mahu dimakan tetapi kerana ia disimpan untuk persediaan hari-hari yang ‘paling gelap’ di Gaza.
Hari ketika rak-rak kedai menjadi kosong, kelaparan melilit kehidupan yang mana berkongsi walau sisa makanan sekali pun menjadi tanda penentangan terhadap kezaliman.
“Hari-hari itu sudah tiba,” kata Asem.
Beberapa minggu lalu, beliau memutuskan sudah tiba masanya untuk ‘melepaskan’ harta kecilnya itu.
Dia memberikan kurma tersebut kepada ibunya.
Keesokan harinya, ibunya menyerahkannya pula kepada adik bongsu Asem, Nesma.
Dan Nesma tanpa ragu, memberikannya kepada anak saudaranya yang berusia dua tahun, Mo’men.
Kurma itu berpindah dari tangan ke tangan, menjadi simbol perjuangan dan tanda kasih sayang di tengah-tengah dunia yang kini berdepan keruntuhan.
Bagi si ibu, memberi kepada anaknya bukan sekadar soal makanan, tetapi tanda kepercayaan dan harapan:
“Ini untukmu, anakku. Engkau lebih memerlukannya daripada aku.”
Dan Nesma pula memilih untuk memberikannya kepada Mo’men, seorang anak kecil yang lahir hanya dua bulan sebelum perang bermula dan kini membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.
Ayahnya, Moataz Rajab seorang lelaki baik yang baru sahaja memperoleh ijazah sarjana dalam bidang ekonomi seminggu sebelum perang, terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai oleh tentera rejim Zionis.

Mo’men tidak akan pernah mengingati suara ayahnya. Tetapi pada saat itu, dia menerima sebiji kurma bersama sebuah cerita yang akan diwariskan kepadanya bertahun-tahun kemudian.
Namun, tiada seorang pun dalam keluarga Asem mahu memakan kurma terakhir itu dan menafikan orang lain daripada merasai kemanisannya.
“Itulah kami di Gaza. Kami bukan sekadar bertahan hidup, tetapi juga memberi. Kami memberi walaupun yang tinggal hanyalah sedikit.
“Bukan kerana kami daripada kalangan malaikat, tetapi kerana kasih sayang dan maruah adalah satu-satunya yang masih kami pegang apabila segalanya telah dirampas daripada kami,” tegas Asem.
Di sebalik runtuhan dan kesakitan, kisah itu menceritakan kebaikan yang masih berbaki di Gaza.
Mereka masyarakat yang enggan tunduk pada kekejaman dan kekayaan tidak pernah diukur pada apa yang dikumpul, tetapi pada apa yang diberikan.

Bagi Asem, kurma itu membawa seluruh kisah Gaza iaitu penderitaan dan kemurahan hati, keputusasaan dan keberanian, eratnya ikatan keluarga serta keengganan menyerah kepada ketidakadilan.
“Kurma yang disimpan dan dikongsi itu adalah lambang penentangan terhadap sistem yang cuba merampas segalanya daripada kami, termasuk hak untuk memberi makan kepada anak-anak kami,” katanya.
Dalam dunia yang mahu menjadikan mereka hanya angka statistik, rakyat Gaza menjadi pencerita dan sebiji kurma kini membawa kisah tentang kasih keluarga, kelangsungan hidup seorang anak, kehilangan seorang bapa dan penolakan sebuah bangsa daripada mengecapi hidup bergelar manusia.
Bagi yang bertanya bagaimana mereka terus bertahan ketika bom masih menghujani dan anak-anak merintih lapar, Asem menjawab:
“Kami bertahan untuk satu sama lain. Kami bertahan kerana di Gaza, tiada siapa mahu memakan kurma terakhir itu. Dan kami bertahan kerana kami semua bermimpi bahawa suatu hari nanti, akan tiba masa kebebasan dan kami akan dilimpahi dengan banyaknya kurma.”
Walaupun kurma itu kini telahpun dimakan oleh seorang anak kecil yang terlalu muda untuk memahami maknanya. Kisah itu diharap tidak akan terpadam dan Gaza akan terus hidup dalam kekuatan jiwa yang tidak pernah dilumpuhkan.
- Kisah ini adalah terjemahan tulisan Asem Alnabih. Seorang jurutera dan pengkaji PhD di Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






