Ketua ‘Geng Rames’ didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang
ALOR SETAR – Seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Rames’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah berkenaan sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, Ramesh Govindarajan, 37, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Rames’ di sebuah premis di Kampung Sungai Division, dalam daerah Kuala Muda antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam S. Shatish.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sungai Petani memandangkan beberapa kes lain yang melibatkan kumpulan jenayah sama sedang dibicarakan di mahkamah tersebut.
Sementara itu, peguam tertuduh memohon agar anak guamnya ditempatkan di Penjara Alor Setar bagi memudahkan ahli keluarga melakukan lawatan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Alor Setar serta mengarahkan tertuduh ditahan di Penjara Alor Setar sementara menunggu sebutan lanjut.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan penahanan ketua ‘Geng Rames’ menerusi Op Tiga pada 22 Mei lalu hasil kerjasama pihak berkuasa Malaysia, Thailand dan India.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, suspek ditahan ketika menaiki penerbangan dari Bangkok menuju ke Hyderabad sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Menurut beliau, suspek yang memiliki Notis Merah Interpol itu turut dikehendaki pihak berkuasa tempatan berikutan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Pada 30 Disember tahun lalu, seramai 20 individu yang dikaitkan dengan ‘Geng Rames’ turut didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang aktif di Kedah dan Pulau Pinang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









