RENCANA

Kesedaran masyarakat kepentingan penjagaan luka masih rendah, berisiko kehilangan jari atau kaki – Dr Nathan

SETIAP luka mempunyai cerita tersendiri. Ada luka besar, ada yang kecil, namun bukan semua luka dapat sembuh dengan cepat dan tepat. Ramai pesakit masih memandang remeh soal penjagaan luka, apatah lagi luka akibat penyakit kencing manis.

Apabila penjagaan luka tidak diambil serius, ramai akhirnya menderita jangkitan kuman yang teruk hingga menyebabkan kehilangan jari atau kaki, sekali gus menjejaskan kualiti hidup dan emosi pesakit.

Menurut Pengasas Poliklinik Sri Sendayan, Dr Nathan Maniam,
penjagaan luka bukan sekadar mencuci dan menutupnya dengan pembalut (bandage) namun ia memerlukan pendekatan holistik, teknik yang betul serta pemantauan rapi oleh profesional perubatan.

“Luka yang tidak dijaga secara sistematik boleh menjadi punca kepada komplikasi besar seperti jangkitan serius atau gangren yang mengancam nyawa.

“Ramai pesakit hanya datang ke klinik atau hospital setelah luka menjadi teruk, sedangkan ia boleh dicegah dengan rawatan awal dan pemantauan gula darah yang baik,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Katanya lagi, pesakit kencing manis tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi kerana paras gula yang tidak terkawal boleh menjejaskan peredaran darah dan sistem saraf.

Akibatnya, katanya, luka kecil yang tidak dirawat dengan betul boleh menjadi ulser kaki diabetes (diabetic foot ulcer) yang menjadi antara punca utama amputasi di seluruh dunia.

Dr Nathan menjelaskan bahawa penjagaan luka bagi pesakit diabetes memerlukan disiplin tinggi, bukan sahaja dalam rawatan luaran, tetapi juga dalam pengurusan dalaman seperti pengambilan ubat, diet seimbang dan kawalan gula darah secara konsisten.

“Ramai pesakit datang dalam keadaan luka yang sudah berbau, bernanah atau merebak ke tisu dalam kerana mereka sangka ia akan sembuh sendiri. Ini bahaya besar bagi pesakit diabetes kerana sistem imun mereka lebih lemah,” jelas Dr Nathan.

Beliau turut menambah bahawa seiring perubahan teknologi terkini, bidang rawatan luka telah berkembang pesat.

Pengasas Poliklinik Sri Sendayan, Dr Nathan Maniam

“Masyarakat perlu memahami kepentingan penjagaan luka menggunakan teknik moden atau Modern Dressing Technique yang merangkumi beberapa aspek penting seperti mengekalkan kelembapan luka, mengawal jangkitan, mengawal paras gula dalam darah serta penggunaan bahan rawatan yang sesuai mengikut jenis luka.

“Setiap luka memerlukan pendekatan berbeza, sama ada luka diabetes, luka pembedahan, ulser tekanan atau luka akibat kemalangan. Prinsip asas rawatan luka ialah Healing Right iaitu sembuh dengan cepat dan tepat.

“Apabila kita merawat luka dengan betul sejak awal, kita bukan sahaja mempercepatkan proses penyembuhan, tetapi juga mengurangkan risiko amputasi, parut dan kos rawatan,” tegas Dr Nathan.

Melalui pengalaman beliau sebagai pengamal perubatan dan doktor bertauliah dalam bidang rawatan luka, Dr Nathan menubuhkan Poliklinik Sri Sendayan sebagai pusat rawatan primer yang menitikberatkan pendekatan menyeluruh terhadap kesihatan pesakit, termasuk pengurusan luka secara profesional.

Kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan luka yang betul masih rendah, terutama dalam kalangan pesakit diabetes dan warga emas justeru Dr Nathan menyeru agar masyarakat lebih peka terhadap tanda-tanda awal komplikasi luka seperti keradangan, nanah, bau tidak menyenangkan atau kesakitan berpanjangan.

“Rawatan awal mampu menyelamatkan nyawa. Luka yang kelihatan kecil mungkin membawa risiko besar jika diabaikan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button