
Kereta, barangan milik Che Ta dilelong esok
KUALA LUMPUR – Sebuah kereta jenama Haval, sofa, peti ais dan pendingin hawa adalah antara barangan milik pelakon, Rozita Che Wan yang akan dilelong melalui satu lelongan awam, esok.
Difahamkan, lelongan itu dijadualkan bermula pada pukul 10.30 pagi di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya membabitkan 34 barangan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46, lapor BH Online.
Perintah lelongan barangan milik Rozita yang lebih dikenali sebagai Che Ta itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dan akan dilaksanakan oleh Auctrade Auctions Solution.
Pada 10 Disember lalu, kediaman sama dilapor diserbu pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan Che Ta gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, Che Ta membuat pinjaman dengan MARA sejak 2017, namun, didakwa tidak pernah membayar pembiayaan itu sejak tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, Che Ta dilapor masih belum tampil bertemu pihak MARA untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik selebriti itu, RCW Worldwide Sdn Bhd.
Susulan itu, bahagian undang-undang MARA dilapor dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman.
Langkah itu adalah prosedur susulan dilakukan terhadap selebriti itu selepas gagal melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes ke mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





