Kerajaan puji peranan Arab Saudi dalam pemindahan rakyat Malaysia dari Sudan
JEDDAH – Malaysia memuji peranan diplomatik dan urusan logistik yang dilakukan kerajaan Arab Saudi dalam proses pemindahan keluar rakyat negara ini dari Sudan.
Penghargaan itu disampaikan oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman Al-Saud.
Sebanyak 30 orang rakyat Malaysia yang berada di Sudan dan rakyat beberapa negara lain berjaya dibawa keluar dan dipindahkan ke Jeddah menaiki kapal milik Raja Arab Saudi, HMS Abha, malam tadi.
Wan Zaidi dalam kenyataannya kepada Saudi Press Agency berkata, operasi pemindahan telah dijalankan dengan lancar dan selamat sehingga tiba di Jeddah, di mana semua perkhidmatan asas disediakan kepada mangsa sebagai persiapan pulang ke tanah air.
“Malaysia berterima kasih atas kerjasama, jasa kemanusiaan dan kemurahan hati kerajaan Arab Saudi yang telah menghulurkan bantuan dalam proses pemindahan rakyat asing termasuk Malaysia dari Sudan,’’ katanya.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan ringkas di media sosial memaklumkan kesemua rakyat negara ini akan dibawa pulang esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








