BERITA SEMASA

Keluarga rayu dana RM350,000 bantu anak jalani rawatan penyakit Multiple Sclerosis kritikal

SEREMBAN – Sebuah keluarga di sini merayu bantuan orang ramai untuk mengumpul dana berjumlah RM350,000 bagi menampung rawatan penyakit Multiple Sclerosis (MS) yang dihidapi anak sulung mereka, Muhammad Syamil Mohd Syahril, 22, yang kini berada pada tahap kritikal.

Muhammad Syamil, bekas pelajar Diploma Kulinari di Kolej Yayasan Negeri Sembilan itu mula menunjukkan simptom sejak penghujung 2022 apabila kerap mengalami sakit kepala berpanjangan dan tekanan darah tinggi.

Keadaannya bertambah serius apabila beliau rebah akibat serangan strok di otak kecil pada malam tahun baru 2023, sebelum disahkan menghidap MS selepas menjalani beberapa siri pemeriksaan termasuk ujian air tulang belakang.

Sumbangan Syamil
Keadaan Muhammad Syamil ketika ditidurkan di ICU Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Bapanya, Mohd Syahril Bahari, 46, berkata, tiga tahun pertama adalah fasa paling mencabar kerana Muhammad Syamil perlu menjalani rawatan cuci darah (plasma exchange) dan beberapa kali ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

“Paling lama dua minggu dia ditidurkan. Doktor risau sel otaknya mati. Rawatan awal memang sangat berat untuk dia,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurutnya, beberapa rawatan terdahulu termasuk suntikan RM60,000 dan terapi Rituximab sekitar RM15,000 satu sesi terpaksa ditanggung sendiri kerana tidak berada dalam senarai subsidi kerajaan.

Selepas dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Muhammad Syamil menjalani rawatan Retazemax dengan kos sekitar RM45,000 setahun. Beliau kini disahkan sebagai pesakit MS kritikal.

Sumbangan Syamil
Keadaan Muhammad Syamil ketika masih sihat bersama dua adik perempuannya.

Mohd Syahril berkata, walaupun relaps anaknya semakin jarang, setiap serangan tetap membawa risiko besar.

“Awal tahun ini, kedua-dua mata Syamil hilang penglihatan dan lidahnya jadi kelu.

“Syukur kerana rawatan kecemasan berjaya selamatkan keadaan tetapi serangan pada bulan September lalu merosakkan saraf mata kirinya sehingga menyebabkan penglihatan berganda,” jelasnya.

Pakar neurologi HKL kemudian mencadangkan rawatan Alemtuzumab iaitu terapi intensif yang digunakan bagi pesakit MS yang tidak lagi responsif kepada rawatan lain.

Rawatan itu memerlukan pemantauan berterusan selama empat tahun dan kosnya dianggarkan melebihi RM350,000.

Sumbangan Syamil
Mohd Syahril (dua dari kiri) bersama isteri, Fazila Baharin (dua dari kanan), Muhammad Syamil dan dua anak perempuannya ketika meraikan Syawal tahun ini.

Bagaimanapun, permohonan dana kerajaan untuk menampung kos rawatan berkenaan gagal, memaksa keluarga mencari bantuan luar.

“Pihak Baitulmal Negeri Sembilan turut membuat penilaian dan mengesahkan keadaan Muhammad Syamil sebagai serius namun bantuan maksimum yang boleh diberikan adalah tertakluk kepada peruntukan sedia ada dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Justeru, pihak Baitulmal mengizinkan tabung untuk dana anak saya ini diteruskan. Sejak dilancarkan dua minggu lalu, kutipan tabung tersebut mencecah RM22,000,” jelas Mohd Syahril.

Bapa kepada tiga cahaya mata yang kini mengusahakan francais kedai haiwan peliharaan, The Pet’s di Ampangan berkata, beliau hanya mahukan peluang untuk anaknya kembali menjalani kehidupan seperti remaja lain.

“Dia masih muda. Banyak impian yang tertangguh. Saya tak minta simpati, saya cuma mahu peluang untuk dia sembuh,” katanya.

Ujarnya, Muhammad Syamil turut menerima rawatan sokongan emosi di bawah pemantauan pakar psikiatri HKL dan keadaannya kini lebih stabil.

Sumbangan Syamil
Poster memohon sumbangan bagi Muhammad Syamil menjalani rawatan Alemtuzumab yang dianggarkan bernilai RM350,000.

Keluarga itu berharap bantuan dapat dikumpulkan segera bagi membolehkan rawatan dimulakan secepat mungkin.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun khas atas nama pesakit:

RHB Bank – 15504700232481 (Muhammad Syamil Mohd Syahril) atau hubungi Mohd Syahril di talian 012-2542330.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button