Remaja hidap kanser neuroblastoma tahap empat perlu RM500,000 untuk rawatan
SEREMBAN – Hasrat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun untuk kembali menjalani kehidupan normal seperti rakan sebaya kini bergantung kepada misi mengumpul dana lebih setengah juta ringgit bagi menampung kos rawatan pembedahan Imunoterapi Dinutuximab Beta (Qarziba).
Nurul Syahira Aliesya, anak ketiga pasangan Roshizam Rosli, 50, dan isterinya itu, disahkan menghidap kanser neuroblastoma atau kanser saraf tahap empat pada Mac tahun lalu.
Dia dijadual menjalani rawatan penting itu di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada November depan yang dianggap sebagai peluang terakhir menyelamatkan nyawanya, lapor Kosmo Online!
Roshizam berkata, daripada jumlah keseluruhan RM574,740 yang diperlukan, sumbangan orang ramai setakat ini hanya mencecah RM32,000, meninggalkan baki sekitar RM500,000 yang masih perlu dicari.
Beliau bimbang jika dana tidak mencukupi, anaknya terpaksa bergantung pada ubat hayat seumur hidup yang perlu diambil tepat pada waktunya bagi mengelakkan kanser merebak dengan cepat.
“Kalau dana berjaya dikumpul dan rawatan dapat dijalankan, besar kemungkinan anak saya akan sembuh, sambung belajar dan kembali ke sekolah.
“Tapi kalau tak cukup, doktor kata dia kena bergantung pada ubat hayat sepanjang hidupnya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Flat Taman Semarak, Nilai.
Sejak disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat, Nurul Syahira sudah melalui perjalanan rawatan yang panjang termasuk empat kali pembedahan membuang ketumbuhan, 12 sesi radioterapi, dua kali kemoterapi dan bakal memulakan pengambilan ubat sebelum rawatan Qarziba dijalankan.
Roshizam mengakui buntu memikirkan kos rawatan yang tinggi kerana beliau hanya bekerja di sebuah kilang cat dengan pendapatan sekitar RM2,200 sebulan.
“Hospital dah tanggung 80 peratus rawatan sebelum ini. Tapi kos kali ini terlalu besar.
“Pernah anak saya kata pada ibunya tak perlu rawatan pun tak apa, dia janji akan terus kuat melawan kanser,” luahnya sebak.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 155109002136 atas nama Roshizam Rosli.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

