Kebakaran tapak pelupusan Pulau Burung dipadam selepas 12 jam
KUALA LUMPUR – Kebakaran di tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang berjaya dipadam sepenuhnya selepas operasi intensif selama hampir 12 jam melibatkan 24 anggota bomba dari lima balai negeri itu.
Pasukan bomba turut menerima bantuan 10 pasukan sukarela serta agensi lain termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).
Kebakaran yang dilaporkan bermula sejak awal pagi semalam itu menyaksikan pihak bomba menggunakan lapan aliran pancutan air bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Selain itu, dua jengkaut turut digunakan untuk memisahkan timbunan sisa dan memudahkan kerja pemadaman.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Pulau Pinang, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.55 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada 5.13 petang. Operasi ‘overhaul’ kemudian dijalankan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan bahaya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.55 petang,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.40 pagi dan sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kawasan sisa pepejal seluas kira-kira 10,000 kaki persegi.
Bulan lalu, tapak pelupusan sama turut dilaporkan terbakar, melibatkan kawasan seluas 0.09 hektar atau kira-kira 0.72 peratus daripada keseluruhan kawasan 12.95 hektar, dengan timbunan sisa setinggi enam meter.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








