Kastam Selangor rampas dadah RM2.24 juta dalam dua operasi di Sepang, Jeli
SHAH ALAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas dadah jenis ketamin dan bunga ganja bernilai lebih RM2.24 juta dalam dua operasi berasingan di Sepang dan Jeli, Kelantan, masing-masing pada Ogos dan Oktober lalu.
Pengarah JKDM Selangor, Noraidah Ishak berkata, rampasan membabitkan keseluruhan 44.78 kilogram (kg) dadah menerusi Operasi Mekong Dragon VII dan Operasi Shieldgate.
Menurutnya, rampasan terbesar dilakukan dalam Operasi Mekong Dragon VII pada 13 Ogos lalu selepas pemeriksaan ke atas tiga kotak kurier import di sebuah pusat mel syarikat kurier di Sepang.
“Pemeriksaan menemukan masing-masing 15 bungkusan plastik dalam kotak pertama dan kedua, manakala 14 bungkusan lagi ditemukan dalam kotak ketiga.
“Jumlah keseluruhan ketamin adalah 44.5kg bernilai RM2.22 juta,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sindiket dipercayai menggunakan taktik mengikrarkan barangan itu sebagai barangan lain, termasuk pembalut plastik, fabrik, stetoskop dan penapis udara bagi mengaburi pihak berkuasa.
Dadah berkenaan dipercayai diimport dari sebuah negara di Eropah, manakala alamat penerima yang dinyatakan adalah di sekitar Sepang.
Dalam operasi berasingan menerusi Operasi Shieldgate pada 13 Oktober lalu, pihaknya mengesan sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran di Jeli, Kelantan.
Noraidah berkata, penunggang motosikal itu melarikan diri sebaik menyedari diekori sebelum dikejar kenderaan penguat kuasa.
“Suspek sempat mencampakkan satu bungkusan plastik di tepi jalan disyaki berisi bunga ganja seberat 0.28kg bernilai RM22,880,” katanya.
Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dibawa ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








