Kartel baja RM1.8 bilion : Eksekutif pemasaran syarikat direman SPRM
PUTRAJAYA – Seorang eksekutif pemasaran salah sebuah syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh pertubuhan di bawah kementerian kerajaan ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Perintah reman selama empat hari dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap suspek, selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki yang berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan ketika memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, lewat petang semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif (dormain) di Malaysia sejak lapan tahun lepas.
“Walau bagaimanapun, syarikat induknya merupakan sebuah syarikat yang berpengkalan di Singapura. Syarikat terbabit juga dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja berjumlah 15,000 tan dengan nilai lebih kurang RM60 juta pada tahun 2022.
“Pemberian kontrak meragukan itu dipercayai dibuat atas arahan pihak tertinggi pertubuhan tanpa kelulusan lembaga pengarah dan diberikan secara runding terus atas alasan pembelian darurat,” katanya.
Menurut sumber, pemberian kontrak bernilai RM60 juta di atas nama syarikat yang tidak aktif sejak lapan tahun itu amat mencurigakan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi semalam mengesahkan SPRM telah memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi oleh salah sebuah pertubuhan di bawah satu kementerian.
Kes disiasat dibawah seksyen 16, 18 dan 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




