Kajian suntingan genom MPOB hasilkan bahan tanaman sawit baharu
KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan industri sawit sedang membangunkan benih sawit baharu dengan kandungan asid oleik tinggi dan yang berdaya tahan dengan keadaan cuaca serta ancaman haiwan perosak.
Menurut Pegawai Penyelidik Unit Bioteknologi Fungsional, Bahagian Pusat Kemajuan Bioteknologi Biak Baka, MPOB, Dr. Abdul Masani Mat Yunus, pembangunan benih itu dijalankan menerusi proses pengubahsuaian kod genetik melalui suntingan genom.
“Teknologi suntingan genom ini masih dalam peringkat R&D, bukti kajiannya sudah ada cuma produknya belum tersedia dan masih memerlukan kajian lanjut,” katanya sambil menambah penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai benih itu telah dijalankan sejak 2021.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan ceramah dalam PIPOC yang berlangsung dari 18 hingga 20 November 2025 berjudul “Suntingan Genom Dalam Sawit: Memacu Pembiakbakaan Bagi Memajukan Tanaman Mampan”.
Dr. Abdul Masani berkata, teknologi suntingan genom ini sebenarnya sudah pun dilakukan pada benih kacang soya dan jagung sejak 2013 lagi namun bagi sawit di negara ini, menerapkan pendekatan tersebut atas beberapa faktor tertentu.
“Teknologi ini juga digelar teknologi biak baka baharu ke arah menghasilkan bahan tanaman yang lebih baik.
“Cabarannya sekarang ialah negara kita masih lagi dalam proses mengadakan peruntukan undang-undang bagi mengawal selia bahan tanaman yang dihasilkan melalui teknologi ini.
“Bagaimanapun, sedikit kelonggaran untuk penyelidikan di peringkat ladang telah pun dibenarkan oleh kerajaan.
“Buat masa ini, agak sukar untuk memberikan jangkaan tepat bila benih baharu ini akan tersedia sepenuhnya dan dapat ditanam oleh peladang sawit. Mungkin 10 tahun atau lebih. Namun MPOB berusaha untuk mempercepatkan R&D penghasilan bahan tanaman ini.
“Walaupun proses penghasilan bahan tanaman ini mengambil masa agak lama, sokongan daripada pihak industri sawit adalah sangat diperlukan,” katanya.
Dr. Abdul Masani berkata, teknologi tersebut pada asalnya, menurut beliau, ditemui oleh seorang saintis Jepun pada 1988, namun penggunaannya sebagai sistem pelalian bakteria tumbuhan membolehkan dua saintis wanita memenangi Hadiah Nobel pada tahun 2020.
“Teknologi suntingan genom telah digunakan untuk penambahbaikan bahan tanaman pisang dan tomato, cuma bagi sawit, ia merupakan proses yang panjang dan rumit,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








