LUAR NEGARA

Jutawan AS lancar kempen kumpul dana ‘burukkan imej Hamas’

WASHINGTON – Jutawan hartanah di Amerika Syarikat (AS), Barry Sternlicht melancarkan kempen mengumpul dana bagi membantu Israel ‘mendahului naratif’ dan memburukkan imej Hamas sebagai ‘sebuah organisasi pengganas’.

Kempen yang dinamakana ‘Facts for Peace’ tersebut dinaungi Josh Vlasto iaitu ahli strategi komunikasi yang pernah bekerja dengan Senator AS, Chuck Schumer dan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo itu dilancarkan ketika bantahan solidariti pro-Palestin sedang hangat di seluruh dunia.

Laporan Al Jazeera menyebut, kempen itu dilancarkan bertujuan mengumpul dana bernilai jutaan dolar daripada puluhan nama besar dunia media, kewangan dan teknologi.

Kata laporan itu lagi, rayuan bagi sumbangan dikemukakan kepada lebih 50 individu, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif Google, Eric Schmidt; Ketua Pegawai Eksekutif Dell, Michael Dell dan pembiaya, Michael Milken.

Gabungan individu berkenaan memiliki nilai pendapatan bersih kira-kira AS$500 bilion (RM2.35 trilion).

Kempen berkenaan sudah mengumpul beberapa juta dolar setakat ini, namun tiada perincian mengenai individu yang memberi sumbangan.

Barry pula menyatakan kempen berkenaan akan membantu Israel ‘mendahului naratif’ selepas dunia bertindak balas terhadap serangan bertalu-talu rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata, kempen itu menyasarkan untuk menjenamakan Hamas sebagai ‘organisasi pengganas yang ‘bukan hanya musuh Israel, tetapi juga AS’.

Selain itu, katanya, ia bermatlamat untuk mengumpul derma peribadi bernilai AS$50 juta (RM235.4 juta) yang akan dipadankan dengan sumbangan daripada badan amal Yahudi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button