Jojo terus menyinar di Lumpinee, tundukkan wakil Myanmar
BANGKOK – Petarung muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sekali lagi membuktikan peningkatan prestasi apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam tempoh lima bulan, kali ini menewaskan petarung Myanmar, Ye Yint Naung, pada ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, semalam.
Beraksi dalam kategori flyweight, Johan atau Jojo tampil dengan pendekatan lebih kemas dan berdisiplin, memperlihatkan kawalan emosi yang baik serta serangan agresif tersusun sepanjang tiga pusingan pertarungan.
Pusingan pembukaan menyaksikan kedua-dua petarung berhati-hati sambil saling menguji kekuatan menerusi pertukaran serangan, tanpa kelebihan ketara memihak mana-mana pihak.
Bagaimanapun, atlet berusia 19 tahun itu mula mengambil alih perlawanan pada pusingan kedua apabila memilih pukulan dengan lebih teliti, memerangkap lawan melakukan kesilapan sebelum melancarkan serangan balas tepat, termasuk kombinasi kanan-kiri yang menembusi pertahanan Yint Naung.
Penguasaan Johan diteruskan pada pusingan penentuan apabila dia mengawal tempo perlawanan, kekal sabar menanti ruang sebelum melepaskan beberapa kombinasi bertenaga yang memaksa lawan berundur.
Keputusan sebulat suara juri mengesahkan kemenangan memihak kepada Johan sebaik loceng penamat dibunyikan.
“Terima kasih kepada Tuhan atas segalanya. Terima kasih Bangkok, saya rasa bagus dan prestasi saya semakin baik,” kata Johan memetik Harian Metro.
Kejayaan itu mengukuhkan momentum Johan selepas menewaskan petarung Maghribi, Zakaria El Jamari, pada September lalu.
Johan turut memaklumkan dia tidak akan beraksi dalam masa terdekat susulan ketibaan Ramadan, namun bersedia menyahut sebarang cabaran selepas itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








