JENAYAH & MAHKAMAH

Mangsa tembak, tetak ada 42 rekod jenayah

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan mengesahkan lelaki yang mati dibunuh dalam kejadian di Nusari Biz Sendayan, di sini malam tadi mempunyai 42 rekod jenayah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, antara kesalahan dilakukan termasuk kes samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.

Jlas beliau, siasatan awal mendapati, lelaki berusia 33 tahun itu telah datang ke sebuah restoran berhampiran lokasi bersama keluarga untuk makan malam.

“Ketika mangsa sedang menuju ke kenderaan, beberapa buah kereta yang dinaiki enam suspek yang berpelitup muka telah menghalang kereta mangsa.

“Suspek yang disyaki bersenjatakan pistol dan parang telah keluar dan menyerang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa cuba melarikan diri bagaimanapun terus dikejar suspek yang melepaskan tembakan, diikuti serangan menggunakan parang sehingga mangsa mengalami kecederaan parah.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Jaafar.

“Pemeriksaan awal terhadap tubuh badan mangsa didapati, terdapat kesan tetakan dan tembakan.

“Pasukan penyiasat yang terdiri daripada pegawai penyiasat, unit forensik dan unit anjing pengesan polis telah pergi ke tempat kejadian bagi mendapatkan bukti fizikal dan bahan berkaitan kes sejurus mendapat maklumat kejadian,” katanya.

Alzafny menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

Tambahnya, polis kini sedang giat memburu kesemua suspek dan mengesan kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-603222,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button