BERITA SEMASALUAR NEGARA

Jauhi dari politik kami, bekas PM Australia tegur Netanyahu

SYDNEY – Bekas Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull menegaskan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya tidak mencampuri urusan politik dalaman Australia susulan kenyataannya yang mengaitkan sokongan Canberra terhadap penubuhan negara Palestin dengan peningkatan sentimen anti-Semitisme di negara itu.

Turnbull menyifatkan kenyataan Netanyahu sebagai tidak wajar dan melampaui batas, sambil menegaskan bahawa dasar luar Australia ditentukan secara bebas berdasarkan kepentingan nasional serta prinsip undang-undang antarabangsa.

“Benjamin Netanyahu sepatutnya menjauhkan diri daripada politik kami,” kata Turnbull dalam reaksinya terhadap dakwaan pemimpin Israel itu seperti disiarkan dalam Channel 4 News.

Netanyahu sebelum ini mendakwa bahawa sokongan Australia terhadap penyelesaian dua negara, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka telah menyumbang kepada peningkatan kebencian terhadap komuniti Yahudi di Australia.

Perkara yang sama menurut Netanyahu menyumbang kepada tercetusnya insiden serangan di Bondi Beach yang mengorbankan 16 nyawa ketika sambutan festival keagamaan Hanukkah di pantai peranginan tersebut.

Kenyataan tersebut bagaimanapun mencetuskan kritikan dalam kalangan pemimpin dan penganalisis politik Australia yang berpandangan bahawa isu anti-Semitisme tidak wajar dipolitikkan atau dikaitkan secara langsung dengan pendirian dasar luar negara itu.

Turnbull menegaskan, menyokong hak rakyat Palestin untuk memiliki sebuah negara sendiri tidak sama sekali bermaksud menggalakkan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama.

Isu konflik Israel-Palestin terus menjadi perhatian global apabila beberapa negara Barat termasuk Australia berdepan tekanan dalaman dan antarabangsa demi mengimbangi sokongan keselamatan terhadap Israel serta tuntutan kemanusiaan dan hak asasi rakyat Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button