Jatuh paragliding: Solo Ambush alami luka ringan, cerita kejadian sebenar
KUALA LUMPUR – Atlet paragliding, Hanizamal Abu Hanifah atau lebih popular dengan panggilan Solo Ambush memaklumkan dirinya berada dalam keadaan selamat dan sihat selepas terlibat dalam insiden paragliding yang tular di media sosial semalam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin, mengambil berat dan mendoakan keselamatannya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau melahirkan rasa syukur kerana tidak mengalami kecederaan serius walaupun terjatuh dari ketinggian selepas paragliding yang dikendalikannya dipercayai terbelit pada wayar elektrik sebelum terhempas ke kawasan sawah di Duyong, Melaka.
“Alhamdulillah, aku selamat, fit dan sihat sepenuhnya. Terima kasih kepada semua yang prihatin dan mendoakan keselamatan aku,” katanya.
Menurutnya, beliau hanya mengalami sedikit calar di bahagian pipi dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius seperti patah tulang, sesak nafas, sengal mahupun kebas.
Video kejadian berkenaan yang memaparkan detik cemas ketika beliau kehilangan kawalan sewaktu melakukan penerbangan paragliding menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk kebimbangan terhadap tahap keselamatan sukan ekstrem itu.
Bagaimanapun, Solo Ambush dilihat kekal tenang dan bersahaja apabila berseloroh mengenai insiden tersebut, malah memaklumkan akan berehat bagi memulihkan tenaga selepas kejadian berkenaan.
Insiden itu sekali gus menarik perhatian orang ramai terhadap risiko yang dihadapi atlet sukan udara, khususnya apabila melibatkan faktor persekitaran seperti kewujudan talian elektrik di kawasan penerbangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

