Jangan malu, jangan segan jumpa saya jika ada masalah kesihatan – Dr Akmal Saleh
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menasihati orang ramai supaya tidak malu atau segan untuk memaklumkan kepadanya jika melibatkan isu kesihatan.
“Duit esok lusa boleh dicari, tetapi kesihatan tiada nilainya.
“Saya sendiri dulu pernah merasai keadaan seperti ini ketika kecil dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bersama hantaran tersebut, beliau turut memuat naik tangkap layar mesej seorang individu yang meminta izin untuk membawa anaknya yang berusia 7 bulan 19 hari ke kliniknya kerana demam.
Wanita itu memaklumkan bahawa suaminya belum menerima gaji dan tiada wang untuk membayar rawatan dan ubat, serta memohon agar bayaran dibuat kemudian apabila suaminya sudah menerima gaji.
“Insya-Allah, kita kongsi rezeki dan kasih sayang bersama tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik.
“Berdosa rasa diri ini bila ada orang kampung kita tidak dapat kita bantu bersama,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.
Beliau juga menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan kesihatan dan tidak teragak-agak mendapatkan bantuan perubatan apabila diperlukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








