Indonesia desak Peru siasat kes tembak ragut nyawa diplomatnya
JAKARTA – Indonesia mendesak pihak berkuasa Peru menyiasat kes tembakan yang meragut nyawa kakitangan Kedutaan Besar Indonesia, Zetro Leonardo Purba, di Lima kelmarin.
Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono turut memaklumkan, sudah berhubung dengan Duta Besar Indonesia di Peru, Ricky Suhendar, serta isteri mendiang Purba.
Sugiono mengarahkan Suhendar untuk memantau rapat perkembangan siasatan dan membantu proses membawa pulang jenazah Purba ke tanah air.
“Saya berharap kita dapat melakukan yang terbaik bagi memastikan kes ini disiasat dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Sugiono turut mengingatkan semua pegawai Kementerian Luar Negeri supaya bersabar dan tabah menghadapi keadaan sukar itu, sambil menekankan keutamaan aspek keselamatan ketika menjalankan tugas.
“Paling penting, di mana sahaja anda berada, sentiasa utamakan keselamatan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada negara,” katanya.
Semalam, laporan media tempatan menyebut Purba ditembak ketika baru pulang daripada aktiviti berbasikal bersama isterinya.
Stesen Panamericana Television menyebut, mendiang ditembak tiga kali oleh individu tidak dikenali berhampiran kediamannya di kawasan Lince, Lima.
Polis tempatan mengesahkan Purba baru lima bulan tiba di Peru untuk memulakan penugasan di Kedutaan Indonesia di Lima, kerana sebelum ini berkhidmat di Konsulat Jeneral Indonesia (KJRI) Melbourne.
Polis dan pasukan forensik sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian, manakala Kedutaan Indonesia di Lima bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri Peru berhubung insiden berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















