Hospital baharu Petaling Jaya dibina guna konsep vertikal, mampu muatkan 500 katil – Amirudin
SHAH ALAM – Hospital baharu yang bakal dibina di Petaling Jaya mampu memuatkan sebanyak 500 katil dan akan didirikan dengan konsep vertikal seperti yang dilaksanakan di Hospital Ampang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi konsep itu, ia tidak perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas dan akan mengoptimumkan kos bagi Kementerian Kesihatan (KKM).
“Lokasi tapak Hospital Petaling Jaya yang diterima oleh KKM amat bertepatan dengan keperluan penduduk Petaling Jaya, terutamanya dari segi akses, kapasiti, kos tanah, dan jarak berdekatan dengan penduduk tempatan.
“Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudahcara dan menyegerakan proses urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya oleh KKM dapat membawa manfaat penduduk Daerah Petaling, khususnya Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Puchong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai persetujuan lokasi pembinaan Hospital Petaling Jaya di sebuah tapak yang telah dikenal pasti.
Mengulas lanjut katanya, keputusan itu adalah susulan daripada mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei lalu melibatkan agensi Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, pengumuman tersebut memperlihatkan kerjasama utuh peranan kedua belah pihak serta memberikan pencerahan kepada kaedah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai kata putus perihal kesihatan awam khususnya dalam aspek pembinaan serta pengoperasian hospital seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Usaha mencari tapak bagi hospital awam Petaling Jaya telah digerakkan secara lebih aktif oleh Kerajaan Negeri semenjak tahun 2018 dengan mengambil kira peningkatan penduduk di Daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta. Di Petaling Jaya sahaja terdapat lebih 800,000 penduduk.
“Sehingga kini, penduduk sekitar Daerah Petaling bergantung kepada Hospital Sungai Buloh berkapasiti 1,037 katil, Hospital Shah Alam berkapasiti 490 katil dan Pusat Perubahan Universiti Malaya berkapasiti 946 katil yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah bekerjasama rapat dengan KKM untuk mengatasi isu akses dan kesesakan hospital awam di kawasan lain seluruh Selangor.
“Misalnya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang yang masing-masing berkapasiti 288 katil dan 150 katil dibina siap pada tahun 2022 oleh KKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri bagi hal urusan tanah,” katanya.
Tambahan kepada itu katanya, Hospital Kapar dengan kapasiti 312 katil dijadualkan siap pada akhir tahun ini dan bakal mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta Hospital Shah Alam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






