BERITA SEMASA

HETR tetapkan halatuju Malaysia guna tenaga hijau

KUALA LUMPUR – Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) bakal menjadikan tenaga hidrogen sebagai salah satu penjana ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) yang akan dilancarkan tidak lama lagi dirangka khusus bagi tujuan itu.

Tenaga hijau tersebut mampu menjana RM12.1 bilion kepada pendapatan negara menjelang tahun 2030, dam diunjur menyumbang antara RM49 bilion dan RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh sama.

“HETR ini menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040.

“Dasar ini akan diperincikan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan dijangka dilancarkan pada akhir bulan ini (26 Jun) pada Persidangan Energy Asia 2023,” kata Anwar.

Teks beliau dibacakan oleh Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang selepas Mesyuarat Majlis Sains Negara yang pertama bagi tahun ini di Pusat Sains Negara, di sini hari ini.

“Pembangunan keupayaan dan pemacuan teknologi tinggi di bawah HETR menyasarkan penghasilan hidrogen dengan kos yang kompetitif, bagi penggunaan domestik untuk sasaran transisi tenaga negara dan tujuan eksport.

“Ekosistem secara menyeluruh perlu diwujudkan bagi merancakkan pembangunan keupayaan industri, serta menerusi penglibatan aktif pihak swasta dan para akademia,” katanya lagi.

Terdahulu beliau berkata, sebanyak lima teras strategik digariskan untuk membangunkan ekosistem tenaga hidrogen yang teguh dan berdaya saing bagi mencapai wawasan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang tahun 2050.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button