Fadillah pengerusikan mesyuarat teknikal MA63 di Sabah hari ini
KOTA KINABALU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dijadual mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi negeri Sabah di sini, hari ini.
Fadillah berkata, mesyuarat itu merupakan agenda pertama beliau sejurus tiba di ibu negeri dan akan melibatkan beberapa pemimpin utama kerajaan negeri Sabah.
“Saya akan mempengerusikan mesyuarat teknikal khas MA63 untuk Sabah. Mesyuarat ini dijangka turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun serta wakil-wakil lain dari Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Media Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, malam tadi.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, selepas mesyuarat itu beliau akan meneruskan lawatan kerja ke beberapa lokasi terpilih di bawah program Petra Squad yang dirancang bagi menilai sendiri pelaksanaan projek kementerian di Sabah.
“Program Petra Squad ini mula diperkenalkan semasa saya memegang portfolio Menteri Kerja Raya dan kini diteruskan dengan konsep yang sama iaitu turun padang bersama kepimpinan tertinggi kementerian untuk meninjau projek dan mendengar maklum balas secara langsung daripada pihak negeri,” katanya lagi.
Beliau berkata, antara lokasi yang akan dilawati termasuklah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa kawasan lain yang berkaitan dengan program kementerian.
“Kami akan menilai sendiri sebarang isu, kekangan atau keperluan penambahbaikan dan berharap media dapat bersama menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat,” katanya lagi.
Terdahulu, Fadillah turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, bagi memperkenalkan kementerian serta mengukuhkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sabah.
“Pertemuan ini juga sebagai langkah untuk mewujudkan kerjasama lebih erat bersama kepimpinan tertinggi negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








