BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Fadhlina, Dzulkefly rasmi Sekolah Dalam Hospital ke-19

KUALA LUMPUR – Sekolah Dalam Hospital (SDH) ke-19 di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini kini dibuka secara rasminya semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Fadhlina dalam ucapannya menekankan kepentingan SDH dalam memastikan akses pendidikan dapat diberi kepada murid yang menjalani rawatan di hospital.

Inisiatif SDH ini mampu membantu pesakit yang dirawat lama di hospital agar tidak tercicir dalam pelajaran.

Sehingga kini, seramai hampir 50,000 orang murid telah mendapat manfaat pendidikan menerusi inisiatif SDH.

“Ini sekali gus mengatasi masalah keciciran murid yang ketinggalan sesi persekolahan apabila menerima rawatan di hospital untuk tempoh yang lama atau berulang.

“Misalnya, walau dalam keuzuran, 91 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di SDH berjaya lulus dan mendapat sijil.

“Pendidikan perlu inklusif dan bersifat manusiawi. Maka, akses pendidikan di setiap peringkat perlu dibuka seluas-luasnya bagi memastikan tiada siapa yang tercicir,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, peluasan SDH akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa menerusi kerjasama erat Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ketika ini sedang melakukan persiapan bagi meluncurkan SDH seterusnya di Hospital Orang Asli Gombak yang bakal memberi manfaat kepada komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button